Friday, July 03, 2020

Tokwan dan isteri-isterinya

Tokwan


Datukku yang ku panggil ‘Tokwan’, berkulit cerah dan tinggi lampai orangnya. Hidungnya mancung dan bibirnya kemerah-merahan. Pandai membaca Quran, bersyair, berkasyidah dan bercerita atau berbari. Dia juga seorang yang sangat berani. 


Dia ada sebuah basikal yang agak tua. Itulah kenderaan kesukaannya. Dengan basikal itulah dia kesana kemari. Apabila selesai semua tugasnya, dia akan pulang dan menyimpannya dengan cermat disebuah tiang kayu tinggi , berbentuk empat segi di bawah rumah. Pada ingatanku, itulah sahaja, satu-satunya alat kenderaan yang ada padanya. Basikal tua itulah yang membolehkan ia pergi kemana-mana, melawat sanak saudaranya, termasuk kerumah saudara sepupu kesayangannya, yang tinggal tinggal di kampung Banggol, KB, lebih kurang 8 -10 kilomiter dari rumah kami.  


Ketika zaman pemerintahan Jepun, orang Melayu sangat takut kepada askar Jepun. Ini mengikut cerita yang aku dengar dan pernah baca dari buku-buku sejarah. Kononnya Orang Jepun sangat ganas, bengis dan zalim terhadap penduduk tempatan. Namun, apa yang aku nampak, Tokwan tidak nampak takut pon. Pada Tokwan, askar-askar Jepun itu biasa-biasa sahaja. Kadang-kadang dia bawa balik biskut yang dia dapat dari orang Jepun. Tokwanku amat istimewa buatku. Dia tak takut pada mereka. 


Belajar dengan Tokwan


Setiap hari ada sahaja bari (cerita)  yang hendak disampaikan kepadaku. Cerita-cerita penglipur lara, semuanya dia tahu. 

Selain dari syair Siti Zubaidah, cerita-cerita lain juga jadi kegemaran semasa aku kecil. Cerita-cerita penglipur lara, seperti Selendang delima, Puteri bunga  mawar, Panji Semerang, Bawang puteh  bawang merah dan Intan Terpilih, menjadi hiburan telingaku saban hari.


Sambil berbaring atas lantai ditegah dewan rumah, diletakkan kepalaku di lengan kanan Tokwan, sementara tangan kirinya  memegang buku. Semua buku yang dibacanya bertulisan jawi. 


Kadang-kadang aku terlena di atas lengannya.  Dia sentiasa berzikir dan membaca ayat-ayat suci al-Quran. Membaca surah Yasin itu memang  telah menjadi amalan harian nya. Kadang-kadang dia baca surah Al-Mulk. Katanya kalau orang rajin baca surah al-Mulk, dia akan tahu bila nak mati. Aku tak faham apa maksudnya ketika itu.


Tokwan sangat istimewa buat diriku. Dia mempunyai banyak kepandaian dan keistimewaan. Selain dari pandai bercakap mengenai ilmu-ilmu tentang Islam, dia juga pandai bertukang. Tukang emas, tukang perak dan tukang rumah. Semuanya dia boleh buat. Dia juga merupakan salah seorang tukang emas yang terlibat membuat bunga emas yang dijadikan 'ufti kepada kerajaan Siam' sebelum Kelantan dijadikan salah sebuah negeri bersekutu pada tahun 1909 .


Aku masih ingat, ada beberapa alat pertukangan tersebut tersimpan kemas dirumahku, termasuk satu set 'dacing kecil' yang diperbuat daripada tembaga nipis yang amat seni dan halus perbuatannya. Mungkin ia digunakan untuk menimbang emas dan permata sahaja. Dacing ini pernah ku simpan, tetapi apabila aku mula berpindah randah mencari kehidupan yang lebih baik,ia hilang begitu sahaja. Begitu juga terdapat banyak peralatan menukang saperti tukul kecil, alat menempa besi, pahat, gergaji dan berbagai lagi. Namun begitu aku tidak pernah nampak dia buat kerja itu. Agaknya dia sudah bersara dari membuat kerja tersebut.


Satu lagi keistimewaan Tokwan ialah dia banyak ilmu. Diatas pintu rumah kami, dia letak sekeping besi nipis bertulis , berukuran lebih kurang 8 inci persegi. Katanya untuk menghindar pencuri masuk rumah. Jika pencuri masuk kedalam rumah kami, pencuri itu tidak akan boleh keluar sehigga pagi. Dia akan duduk berenang-renang diatas lantai rumah kami.


Selain dari itu , Tokwan juga adalah seorang yang amat kreatif dan rajin. Dia mampu mencipta sesuatu untuk kegunaan sendiri. Aku pernah terlibat dengan salah satu alat ciptaannya, apabila dia membuat penapis air dan mengajak aku minum air dari alat yang baru diciptanya.


Ia juga pakar membuat bumbung rumah, menyalakan api tanpa mancis. Aku sentiasa kagum dengan kebolehanya. Ia mengajar bangaimana mendapat api dengan hanya meletakkan secebis kapas dan cermin matanya yang tebal, kepada pancaran matahari. Kemudian aku lihat asap berkepul-kepul, keluar atas kapas tersebut. Hebat sungguh Tokwanku!.


Dia juga tahu bila gerhana matahari akan berlaku, Dia akan mengajak aku melihat gerhana matahari di dalam baldi air bersamanya. Apabila tiba masa gerhana atau sesuatu yang aneh, dia akan mengajak aku menyediakan peralatan untuk menyaksikannya, terutama apabila terjadi gerhana matahari atau bulan. Dia juga sangat bijak dalam berbagai ilmu perkapalan dan perdagangan.


Mengikut cerita orang-orang yang pernah mengenalinya dulu, Tokwan adalah salah seorang Malayu yang hebat berniaga. Beliau dikatakan mempunyai beberapa buah kapal layar yang besar dan hebat. Dia juga mempunyai ramai awak-awak atau pekerja-pekerja untuk membantunya dalam perniagaan. Beliau sendiri bertindak sebagai pengemudi, kerana kehebatan pengetahuan mengenai ilmu pelayaran dan arah angin bertiup dan sebagainya.


Beliau belayar ke Singapura menghantar sendiri kelapa kering, hasil dari 10 ekar ladang kebun kelapa, kepuanyaannya di beberapa kawasan di Takbai dan Tumpat. Semasa kecil aku pernah mengikut Pakcik ku, Nik Mansur bin Nik Mustapha ( anak sulungnya dan juga satu-satu anak lelakinya) ke Tumpat, untuk meninjau salah sebuah kebun tersebut. Pada waktu itu ia dipawah kepada seorang penduduk disitu.


Tokwan pakar buat Wau dan Tanglung


Tokwanku juga pakar membuat wau dan tanglung dan lain-lain lagi. Tokwan akan membuat sendiri Tanglung untuk aku apabila ada perarakan Tanglung di sekolah. Kerja seni lukisan kerawang pon dia hebat. Untuk menghias wau bulan, dia melukis  dahulu atas sekeping kertas nipis. Apabila dia telah puas hati dengan lukisan tersebut, barulah dia menyalin keatas kertas warna  pilihanya. dia mengatur segala perlatan diasatu tempat khas, memulakan kerja seninya. Kertas yang dipilihnya akan dilipat dua, atau empat atau lapan sebelum dia menggunting dan menyobek-menyobek dan menghiasnya dengan cermat. Dia bijak memilih sudut-sudut yang telah ditentukan. Apabila selesai menggunting, kertas itu akan ditebuk dan disobeknya sebelum membukanya di atas lantai untuk aku melihat keajaiban hasil kerja seni nya yang begitu unik dan cantik. Aku hairan dan terpegun dengan hasil ciptaan dan rekaan tangannya yang sangat halus dan unik. 


Aku sering juga menolongnya meraut dan membentuk buluh untuk membuat wau dan tanglung. Dia sangat tekun dalam menghasilkan karya seni nya. Kebanyak ukiran atas pintu bilik rumah kami pon Tokwan yang buat. Terlalu banyak keistimewaan yang tidak dapat lupakan. Tokwan adalah idola ku semasa aku kecil.   


Berkat asuhan dan didikan dan kasih sayangnya semenjak dari kecil, menjadikan aku seorang yang cepat mesra, kreatif dan rajin mencuba. Aku mewarisi hobinya yang suka membaca. Aku suka membaca buku-buku cerita, majalah-majalah hiburan yang ringan-ringan. Dimana ada buku dan majalah, disitulah aku tumpang membaca setiap hari. Salah sebuah tempat yang aku duduk bertapa, berjam-jam ialah di rumah salah seorang bekas guru sekolah Melayu Langgar, kerana ada buku-buku kegemaranku. Aku tidak  pergi ke perpustakaan sebab jenis buku nya, berat-berat dan terlalu bersifat akademik.


Nenek sebelah ibu


Tokwan pernah berkahwin dengan 3 orang wanita lain, selain dari neneku yang aku panggil Cek. Semasa aku dilahirkan Cek sudah separuh abad umurnya. Sudah mempunyai beberapa orang cucu, selain dari aku. Dia merupakan anak sulung dari 6 orang adik beradik yang terdiri dari 4 perempuan dan 2 orang laki-laki.


Cek merupakan seorang wanita yang berhati mulia dan amat penyabar orangnya. Dialah tempat ibu dan aku menumpang kasih. Tokwan, ibu serta aku, tinggal bersamanya semenjak dari kecil sehingga aku berkahwin dan beranak tiga. Dia mempunyai 3 orang anak sahaja dan anak sulungnya seorang lelaki sudah  meninggal dunia ketika aku masih bayi. Cek seorang yang  bertubuh kecil dan kurus sahaja tetapi tenaganya kuat.


Sekali sekala aku ikut dia pergi mengambil padi di Baloh rumah Emak. Dia sendiri akan mengisar, menumbok dan membawanya balik kerumah. Ada masa juga dia tidak akan teragak-agak untuk menoreh getah sendiri.  Ada masa dan ketikanya, Mek Jah dan suaminya Pakwel, yang diupah menoreh getah seluas 2 ekar nya itu, balik ke kampung terlalu lama, dia sendiri akan mengambil alih tugas tersebut untuk beberapa hari. Walaupun dibantu ibu, aku kagum dengan kekuatannya, yang berbadan kecil itu, dapat melakukan kerja sebegitu berat. Dia bukan sahaja akan menoreh sendiri, bahkan mengutip susu getah dan membawa baldi getah sendiri, memproses dan membawa balik 2 keping getah untuk dijemur sehingga kering. 


Pada pemerhatian aku, dia agak kedekut orangnya dan jarang mengupah orang melakukan sesuatu kerja untuk nya. Dia hanya upah kerja-kerja yang dia sendiri tidak mampu lakukan, seperti memotong kayu untuk dijadikan kayu api untuk urusan masak di dapur kayu nya sahaja.


Kembali kepada kisah Tokwan. Dia mengahwini isteri yang terbarunya semasa aku berusia lebih kurang 7 tahun. Tokwanku ini sangat hebat dan istimewa orang nya. Apabila dia berkahwin dengan isteri mudanya, dia bawa balik madu baru nenekku itu tinggal bersama-sama kami. Dia tidur di bilik sebelah. Aku, nenek dan ibu, tidur di bilik yang satu lagi. Isteri mudanya seorang yang pendiam. 


Isteri keduanya, tinggal bersama-sama 2 orang anaknya yang lain tidak jauh dari rumah kami. Rumah mereka adalah berhampiran Masjid Langgar. Dia ada 3 orang anak, tapi  2 orang sahaja yang tinggal disitu. Anak  sulungnya tinggal bersama suami dan anak-anaknya diKampung Bangol. Suaminya Wan Abdullah adalah seorang guru.


Aku kenal sangat dengan isteri keduanya yang bernama Nik Maimunah (aku memanggilnya ‘Tokwan Noh”. Setiap minggu dia akan datang kerumah kami, untuk menempah baju dan seluar kanak-kanak dari ibuku. Dia berniaga diatas pasar Kota Bahru. 


Dia juga seorang yang berani. Beberapa kali aku terserempak, apabila dia datang menyerang dan memaki-maki isteri muda Tokwan. Nasib baik isteri muda tak melawan.


Nenek sindir madunya


Suatu hari dia datang membawa sebilah gunting  hendak menikam isteri muda Tokwan. Kami semua ketakutan. Tetapi didalam suasana kelam kabut itu, aku terdengar nenekku menyindirnya, dalam suara bernada rendah sahaja, seolah-olah membisik kepadanya. ‘Oh! Sakit hati juga, bila suami kita diambil orang?”. Sejurus selepas itu dia keluar dari rumahku. Agaknya baru dia sedar bahawa dia sendiri telah mengambil suami orang. 


Aku hanya kenal 2 daripada isterinya, tetapi aku tahu Tokwan ada isteri lain( mungkin isteri pertamanya) kerana suatu hari, anak sulung nya bernama Wan jamilah tiba-tiba muncul kerumah kami. Dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan dan beberapa orang cucu yang berumur hampir sebaya dengan aku. Wan Jamilah tinggal di Sungai Golok, bersama suami dan anak ada cucu-cucunya. 


Tidak lama kemudian 2 dari 5 orang cucunya datang tinggal bersama kami, kerana bersekolah. Mereka memilih untuk bersekolah di kota Bharu kerana masaalah bahasa pengantarnya. Dinegeri Siam tidak ada sekolah Melayu. Tokwan meninggal sekitar tahun 1954, semasa aku berumur lebih kurang 15 tahun dan anak bungsunya Nik Maheran berumur lebihkurag 6 tahun.


No comments: