Friday, July 03, 2020

sekolah melayu Langgar.

Sekolah melayu Langgar

 

Setelah Jepun dikalahkan dan British kembali memerintah, aku pon mula bersekolah. Aku mula bersekolah di Sekolah Melayu Langgar pada tahun 1948-1952 dari darjah satu sehingga darjah empat sebelum melanjutkan pelajaran ke Special Malay Class di Zainab English School, Merbau Kota Bahru.


Special Malay Class ini baru diperkenalkan, dimana murid-murid dari sekolah Melayu, diberi peluang melanjutkan pelajaran mereka ke sekolah Inggeris. Aku merupakan salah seorang murid yang terpilih dari seramai 42 orang murid dari seluruh negeri Kelantan untuk mengikuti program ini.  3  daripada mereka adalah sepupuku sendiri. 


Guru besar sekolah Langgar pujuk ibu


Sebelum ini agaknya ibu kurang faham tentang alam persekolahan. Pada ketika itu,sebahagian daripada murid-murid perempuan tamat sekolah setakat darjah 6 sahaja. Selepas tamat darjah 6 mereka sudah layak menjadi guru sekolah rendah. 


Ketika itu aku sendiri pon belum ada rancangan masa depanku.  Aku hanya suka bermain dengan kawan-kawan sekampung, tidak kira lelaki atau perempuan. Semua jenis permainan yang ada, aku akan terlibat dan ambil bahagian.  Aku sering menang bermain guli(gurah) dengan pukulan maut ku yang hebat. Aku kalahkan budak-budak lelaki pon. 


Aku berlawan main selambut dengan kawan-kawan perempuan, berlawan main tumbuk buah getah, main lawan tali getah, main lompat tali, main congkak, main decak-decak atau kapal terbang dan berbagai lagi. Aku tidak memilih kawan. Lelaki dan perempuan, padaku semunya sama, yang penting hatinya mesti baik dan ikhlas


Aku juga suka menyanyi dan menonton wayang. Aku juga tertarik dengan berbagai persembahan kebudayaan yang ada ketika itu. Wayang kulit, mak yong, menora dan pertujunkan Bangsawan adalah antara kegemaranku. Semua permainan kebudayaan ini ada di Biaritz Park, yang terletak tak jauh dari  rumahku. Ia dibuka pada bulan ogos 1951 semasa aku berumur 12 tahun lebih.


Aku dan kawan-kawan hanya berjalan kaki untuk pergi kes Biaritz park yang tersohor itu. Aku juga tidak ketinggalan menyaksikan perlawanan dikir barat yang sangat popular pada waktu  itu. 


Kalau ada pertunjukan kebudayaan dimana-mana aku akan pergi.Selain dari itu aku juga suka membaca buku cerita dan melukis.Aku rajin membaca sebab dari kecil aku telah diasuh oleh Tokwanku untuk mendengar berbagai cerita darinya. Kegemaran membaca cerita ini terbawa-bawa hingga aku akan pergi kemana saja yang ada buku. 


Aku sering pergi kerumah salah seorang Chekgu yang bernama Cikgu Mohamad. Dia pon sayang padaku. Kalau ada buku yang baru dibelinya, dia akan beritahu aku.  


Suatu hari aku nampak Guru besar berkunjung kerumah kami. Dia memberitahu ibu bahawa, aku telah lulus peperiksaan dan mendapat tawaran melanjutkan pelajaran. Ibuku tidak memberi apa-apa reaksi kepadanya beberapa lama.


Kegagalan ibuku untuk membuat keputusan, menyebabkan Guru besar sekolah Melayu Langgar, Che gu Haji Said, terpaksa berkali-kali datang kerumah berbincang dengan ibu mengenai isu dan masa depanku. Dia memujuk ibu agar menerima tawaran untuk aku masuk ke Kelas special Malay yang baru diperkenalkan oleh Kerajaan. 


Aku masih terdengar lagi kata-kata Chikgu Haji Said kepada ibuku, “rugilah, kalau tak terima tawaran ini, sebab budak ni cerdik dan mempunyai masa depan yang cerah” katanya.

Setelah dipujuk berkali-kali barulah ibuku bersetuju. Semenjak itu bermulalah fasa kedua alam persekolahan aku.

 

Malas kesekolah

 

Jarak sekolah dengan rumahku hanya beberapa langkah sahaja. Rumahku adalah rumah yang ketiga dari 3 buah rumah yang ada disitu. Tetapi aku malas ke sekolah.Setiap pagi ibuku terpaksa menghantar aku. Bila masa rehat, aku pulang dan tak mahu pergi lagi. Setelah dipujuk-pujuk barulah aku pergi semula. Kadang-kadang ibuku terpaksa mengupah kawan-kawanku dengan berbagai jenis upah untuk memujukku. 


Nasib baikku ibuku pandai membuat cokelat menisan. 

Dirumah ku juga kebetulan terdapat banyak pokok-pokok buah-buahan saperti Rambutan,Manggis,Rambai, Mangga, buah Kiat, buah Katak puru (num num),belimbing dan bermacam-macam lagi yang digemari oleh kawan-kawanku.


Buah-buahan ini ibu jual, tetapi kadang-kadang ibuku  jadikannya sebagai umpan kepada kawan-kawan ku supaya datang kerumah untuk menjemputku kesekolah.

 

Suka menyanyi


Semasa aku berumur 9 tahun, aku mula minat menyanyi. Antara lagu kegemarannku ialah ‘lagu Bunga Tanjung’ yang dinyanyikan oleh Rubiah. Suatu hari salah seorang Cikgu yang bernama Chekgu Abdul Rahman,mendengar aku menyanyi. Suatu hari disuruhnya aku menyanyi. Apalagi ibarat orang mengantuk disurungkan bantal. Semenjak hari itu aku menjadi penyanyi tetap sekolah. Setiap hari sebelum balik, aku disuruh menyanyi lagu ‘bunga tanjung’ dan mendapat tepukan gemuruh dari murid-murid dan guru-guru. Semenjak itu aku mula suka kesekolah. Pagi-pagi aku dah bangun bersiap untuk kesekolah.


No comments: