Rumah bernombor 4661,Jalan Pasir Puteh
Rumahku terletak betul-betul ditepi jalan raya Pasir puteh /Kota Bharu. Pada masa itu jalannyat tidaklah sebesar dan seluas jalan sekarang. Yang memisahkan jalan raya dengan rumahku hanyalah, sebuah parit dan kawasan rumput yang agak luas, khas untuk pejalan kaki atau tempat orang duduk menunggu bas atau teksi.
Parit itu adalah untuk aliran air sekiranya hujan turun dan melimpah berukuran lebih kurang 3 kaki luas dan 2 kaki dalam. Disekelilling rumahku juga ada pagar pokok Teh yang tebal dan hijau.
Disebabkan Tokwanku memang seorang yang tak boleh duduk diam, keliling rumah juga penuh dengan pokok dari berbagai jenis, terutama sekali pokok pisang dan betik. Ada juga beberapa pokok bunga yang tumbuh segar. Bunga tikam seladang umpamanya, adalah salah satu bunga kegemaranku. Pokok bunga ini mengeluarkan bau yang sangat harum, menjalar diatas pagar dengan bunganya yang puteh bertaburan. Amat cantik sekali.
Pada masa itu aku seorang sahaja kanak-kanak yang tinggal dirumah besar itu. Selain dari aku, hanya nenek, ibu dan atukku bersama isteri mudanya , yang kami panggil “Mak” tinggal disitu
Jalan raya yang sibuk
Kenderaan berat saperti Bas,lori, kereta, motorsikal, teksi roda tiga, basikal agak sibuk. Ia sangat merbahaya untuk melintas.
Banyak kemalangan berlaku disitu dan salah satunya berlaku betul-betul dihadapan mataku. Peristiwa itu telah mengorbankan seorang nenek tua yang sangat akrab denganku.
Dia sedang menuntun kambingnya untuk melintas jalan. Aku ada bersamanya, untuk sama-sama melintas jalan pergi kerumahnya. Tiba-tiba sebuah motorsikal Jenis BSA yang dipandu laju melanggarnya. Nenek tua, yang aku panggil Maksom mati disitu, betul-betul dihadapan mataku. Aku terkejut dan tergamam disitu sehingga orang ramai mengurumuni dan mengakat mayatnya, aku masih terduduk disitu.
Kejadian ngeri dan menyayat hati itu, tidak dapat ku lupakan sehingga kini. Aku masih gerun dan trauma apabila melihat motosikal dipandu laju.
Bentuk Rumah nenekku
Rumah nenekku sederhana besarnya, terletak diatas sekeping tanah tidak jauh dari sekolah ku. Rumah Melayu lama ini berbentuk empat segi, terletak tepi jalan besar , yang menghubungkan Kelantan dan Trengganu. Jalan ini dinamakan Jalan Pasir Puteh.
Berbanding dengan 2 buah rumah jiran yang lain, rumah kami satu-satunya yang menghala ke arah matahari jatuh. Kami membelakangkan rumah jiran.
Rumah ini dikelilingi oleh berbagai jenis pokok buah-buahan yang besar, tinggi dan selalu mengeluarkan buah yang banyak dan bunga-bungaan yang harum baunya. Dihadapan rumah itu juga terdapat 2 jenis pokok yang meninggalkan kesan yang besar, keatas diriku semasa kecil. Pokok Cengkih dan pokok rambai terutamanya.
Seperti rumah-rumah lama yang lain, ia terletak diatas tiang kayu pepat yang besar dan tinggi. Ini membolehkan kawasan bawah rumah menjadi kawasan kanak-kanak bermain. Ia juga dijadikan kawasan menyimpan barang-barang lama (yang sebenarnya sudah tidak berguna lagi), tetapi sayang hendak dibuang.
berganti Terdapat banyak kayu-kayu terpakai disimpan disitu, sehingga satu hari kakiku terpijak sengat seekor lipan ketika bermain di situ. Sakitnya alang kepalang. Seminggu lamanya aku terhinjut-hinjut dirumah, tak boleh berjalan dengan betul.
Bentuk rumah
Rumah itu asalnya terdiri dari dua buah rumah ibu yang dicantumkan menjadi satu. Kalau dipandang dari atas terdapat 2 buah bumbung pada rumah itu. Dimana kedua cucur atap bertemu, satu saluran zink menyambung kedua buah rumah tersebut. Saluran zink itu juga bertindak sebagai tempat tadahan air hujan. Air akan mengalir turun melalui saluran itu. Sebuah tempayan besar diletak betul-betul dibawah muncung saluran tersebut. Air ini digunakan untuk menyiram pokok dan membasuh kaki.
Rumah berubah wajah
Zaman bertukar, tahun berganti dan berlalu pergi. Rumah itu juga turut melalui berbagai pembaharuan dan pengubahsuain, mengikut masa dan keadaan. Ibuku selalu membuat pengubahsuain keatas rumah lama kami beberapa kali. Dirombak, ditambah, diubah sehingga menjadi sebuah rumah yang lebih besar. Ia menjadi tempat keluarga behimpun, terutama apabila ramai kaum keluarga berkembang dan bertambah ramai.
Tangga yang dulunya menghala matahari jatuh, kini telah diubah mengahala kearah Matahari terbit . Dinding yang dulunya gelap disebabkan kurang bilangan jendelanya, kini bertukar wajah. Jendela-jendela diubah bentuk dan corak bingkainya. Ia diberi nafas baru dengan menggunakan bahan-bahan yang baru dan terkini. Kalau dulu bingkainya tidak ada cermin, kini sudah bercermin cerah, sehingga rumah kami kelihatan lebih cerah dan berseri. Angin pon mula menembusi ruang tamu rumah kami dengan desiran angin yang menyejukkan.
Bentuk ruang tetamu juga berubah wajah,. menjadi lebih besar dan berbeza dari rumah-rumah lain yang ada disitu. Hujung ruang tamu dibuat berbentuk tiga penjuru berbucu-bucu. Setiap penjuru dinding dihias pula dengan jendela-jendela cermin. Apabila kesemua jendela dibuka, ia kelihatan sangat luas,terang dan cantik.
Tangga juga telah bertukar bentuk dan rupanya. Dulu hanya kayu kini bertukar menjadi batu yang kuat dan kemas. Anak tangganya dibena mengguna kepakaran modern. Anak tangganya yang bertingkat-tingkat digunakan untuk meletakkan berbagai jenis pokok bunga sebagai perhiasan oleh ibuku, yang sememangnya ama kreatif dan rajin. Bentuk tangga juga berubah wajah dan bentuknya menjadi berbucu-bucu menyerupai bentuk ruang tamu. Peneduhnya juga bertukar menjadi batu konkrit yang tinggi,besar dan kukuh. Sbelum ini sutuhnya atau varendanya, hanya dari kayu dan bata Singgora, kini berubah kepada batu konkrit yang sama tinggi dengan rumah asal. Memang nampak gah.
Apabila bapa saudaraku yang bekerja sebagai CC (chief clerk) dipejabat Tanah Pasir Puteh bertukar balik ke pejabat Tanah Kota Bharu sekitar tahun 1948 bentuk rumah juga turut berubah lagi. Bermula dengan hanya 2 buah bilik tidur ia bertukar menjadi 4 bilik.Rumah dapur juga turut mendapat sentuhan baru. Dan berubah tempatnya dari belakang kesebelah kanan pula. Semua pengubahsuaian ini berlaku sedikit demi sedikit.
Dikawasan 'dewan' yang orang kelantan panggil ‘Luar’, adalah bahagian depan yang terbuka luas tanpa apa-apa sekatan, saperti sebuah surau. Kami boleh berjalan dan bermain dari hujung kehujung rumah itu. Lantainya atau gelegarnya pon sama sahaja warna dan saiz nya terpaku kemas diatas kayu penyambut yang sama tinggi.
Disitulah kami menyambut tetamu yang datang; tempat beristirehat anak beranak; tempat sembahyang, tempat aku tidur diatas lengan Tokwan. Tempat aku membaca buku bersama Tokwan, sambil dia bercerita dan mendengar dia bersyair cerita Siti Zubaidah, Puteri bunga Mawar dan Panji Semerang yang berulang-ulang diceritakannay sehingga aku hampir hafal dibuatnya.
Sebelum pengubahsuain ini berlaku, terdapat dihadapan rumah itu, sebuah tangga kayu sahaja. Satu bangku tempat duduk kegemaran Tokwan untuk berehat sambil menghisap rokok daunnya. Ruang hadapan rumah ini adalah penyeri rumah asal kami. Sebuah tempayan beri air juga diletakkan disitu untuk kami membasuh kaki sebelum naik kerumah.
Struktor rumah
Kebanyakan struktor rumah itu diperbuat dari kayu cenggal dan atapnya dari bata Senggora berwarna merah bata, sama saperti rumah-rumah yang lain disitu.
Terdapat 2 bilik tidur, 1 ruang tamu yang luas terletak dihadapan kedua-dua bilik tidur. Setiap bilik tidur ada 2 pintu kayu berdaun dua. Satu pintu terletak ditengah-tengah bilik dibahagian hadapan, manakala yang satu lagi terletak di sebelah sudut tepi belakang bilik.
Fungsi pintu sudut ini, pada hematku adalah bagi memudahkan kami keluar masuk kalau ada tetamu yang berkunjung kerumah kami. Jadi tak lah menggangu mereka, berbanding kalau menggunakan pintu depan untuk keluar masuk, terutama kalau nak pergi kedapur untuk membuat air atau sebagainya.
Bilik tidur
Nenekku memang sudah tua. Setelah Tokwan membawa isteri mudanya, nenek perpindah dari biliknya dan tidur bersama kami. Diantara 2 bilik itu ada satu kawasan laluan kecil, berukuran lebih kurang 8 kaki terletak betul-betul dibawah saluran air.
Yang paling istimewa ialah, didalam setiap bilik tidur itu terdapat satu sudut kecil, lebih kurang 1’x 2’ persegi, disediakan khaskan untuk kami kencing pada waktu malam. Ada sebuah kendi air tersedia disitu. Aku jarang menggunakannya kerana selalu membayangkan, ada orang sedang mengintai kami dari bawah rumah.
Dapur
Untuk kedapur kami terpaksa menuruni sebuah bendul kayu yang besar dan 2 anak tangga kayu berukuran 5 kaki luasnya.
Ditepi dinding sebelah kanan, ada rak khas tempat meletak pinggan. Dari dapur kami kena turun satu anak tangga untuk pergi tempat yang kami panggil jemoran. Kawasan ini lapang dan terbuka untuk tempat mandi manda dan menjemur kain.Tiada atap penutup disini kecuali dinding yang dianyam dari buluh. Dinding ini pon seingat ku sudah lama dan uzur.
Dari kawasan jemoran ini kami boleh turun keperigi batu yang sangat jernih airnya. Banyak pokok-pokok bunga yang harum baunya ditanam disitu. Antaranya ialah bunga cempaka keling dan bunga melor. Beberapa pokok buah-buahan saperti kerini, belimbing, katak puru dan pokok rambutan yang tinggi menutup selu, yang hampir menuup seluruh bumbung bilik belakang, pon ada disitu.
Zaman Jepun
Semasa zaman pemerintahan Jepun , ramai orang yang susah. Mungkin kawasan jemoran rumah nenek tidak dibaiki kerana kesusahan zaman Jepun. Getah tidak boleh ditoreh. Padi tidak boleh ditanam, takut dirampas oleh askar Jepun, yang dikatakan sangat ganas dan jahat itu.
Perempuan-perempuan pon terpaksa disembunyikan. Nenek pernak bercerita kepadaku. “Suatu hari beberapa orang askar Jepun telah datang kerumah kami. Ibuku disembunyikan dibawah kain selimut. Apabila askar datang, nenek dalam ketakutan merayu kepada askar Jepun. Katanya “Jangan ambil kain selimut saya,tuan. Jangan ambil kain selimut saya tuan ,” beberapa kali sebelum askar itu berlaku pergi”.
Keluarga datang menumpang.
Selepas perang, sepasang suami isteri yang baru berkahwin datang tinggal bersama-sama kami. Mereka tinggal beberapa tahun lamanya sehingga dapat anak 2 baru mereka pindah balik ke Kampung Laut.
Sebenarnya, aku pon tak tahu kisah sebenar pasangan Nik Soh dan Wan Majid ini datang tinggal dirumah nenek. Tetapi apa yang aku tahu, Tok Wan terpaksa berpindah dari dalam bilik dan tidur bersama isteri mudanya diluar. Dia dan Mak tidur didalam kelambu besar.
Tidak lama kemudian 2 orang keluarga lagi datang menumpang, iaitu cicit tokwan dari Sugai Golok datang tinggal bersama kami, kerana bersekolah. Yang tua bernama Nik Ahmad ( panggilan mesranya Mat gebing, kerana telinganya gebeng) dan adiknya Nik Abdul Rahman.
Nik Ahmad menjadi kawan akrab aku,sampai keakhir hayatnya. Darinya aku belajar memandu, dia juga yang menghantar dan menunggu ku sepanjang masa aku mengajar kelas dewasa di Mulong tiga kali seminggu.
Dia kemudian dapat kerja dipejabat Ukur bersama suamiku.Dia tinggal dengan kami sehingga dia kahwin. Seorang lagi adik ipar maksu Nah juga datang menumpang. Rumah kami menjadi seperti hostel atau rumah tumpangan.
No comments:
Post a Comment