Mula kerja dan mencari duit sendiri
Ramai yang menganggur selepas tamat belajar.
“Tidak ada kerja yang sesuai dan gaji pula tak setimpal dengan kelulusan yang ada”
“Tak tahan kerja tempat panas”
“Jauh dari keluarga dan ibu bapa” dan bermacam rungutan dan alasan lagi yang sering kita dengar.
Aku agak bertuah
Di awal tahun 1959, sebaik sahaja tamat tingkatan 5, sebuah sekolah Inggeris di Kota Bharu, Kelantan. Sementara menunggu keputusan peperiksaan, aku memohon jadi guru sementara di sekolah rendah kebangsaan Sultan Ismail, yang terletak lebih kurang setengah kilometer dari rumahku. Dengan pendapatan seratus ringgit sebulan sudah cukup bahagia.
Setelah keputusan peperiksaan diumumkan, aku hanya lulus dengan mendapat gred 3, iaitu gred yang paling tercorot. Yang penting aku lulus. Aku bersyukur dengan keputusan tersebut dan terus mencuba nasib dengan menghantar beberapa permohonan kerja, ke beberapa jabatan kerajaan dan swasta.
Tanpa diduga, di dalam bulan tersebut juga aku terus mendapat tawaran kerja sebagai kerani di sebuah Syarikat Kenderaan berhampiran dengan rumah aku.
Syarikat itu adalah syarikat kenderaan di negeri Kelantan yang utama, pada ketika itu. Aku ditempatkan di dalam sebuah pejabat kecil, di bahagian bengkel, yang terletak berhampiran kawasan pintu masuk utama syarikat kenderaan tersebut. Di syarikat ini aku mula mengenali beberapa perkara baru. Berbagai jenis kenderaan dan peralatan yang digunakan mula menjadi perhatian aku.
Aku ditempatkan di meja kecil berhampiran bilik stor yang berisi dengan berbagai tayar berbagai jenama tersusun sampai hampir ke siling. Hari pertama aku melapor diri, aku dibawa masuk ke bilik ini untuk melihat keadaan sekeliling.
Kerja aku adalah mencatat bilangan kenderaan yang keluar masuk ke bengkel dan merekodkan jadual perjalanan destinasi kenderaan tersebut. Aku juga dikehendaki merekodkan kod tayar yang diambil untuk kegunaan berbagai jenis kenderaan syarikat. Masuk pejabat pukul 8.00 pagi keluar pukul 4.30 petang. Aku berjalan kaki ke tempat kerja setiap hari.
Kerjaya aku sebagai kerani di syarikat kenderaan tersebut berakhir apabila aku mendapat tawaran kerja yang lebih baik.
Kerajaan negeri Kelantan telah menawarkan aku jawatan sebagai pegawai Kerani. Mengikut surat itu aku akan ditempatkan di Pejabat Tanah Kota Bharu. Aku amat teruja dan bersyukur dan terus melapor diri setelah menerima tawaran dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.
Setelah selesai urusan melapor diri, aku diberi sebuah meja besar, terletak di belakang meja Kerani Besar. Terdapat beberapa meja lain yang sederet dengan meja aku. Di tepi dinding sebelah kiri meja Ketua Kerani pula, terdapat sebuah meja khas. Di atasnya terletak sebuah kotak, berukuran lebih kurang 15inci tinggi dan 12 inci lebar, dan kelihatan sebuah telefon tergantung ditepinya. Seorang lelaki berkulit agak gelap,tinggi dan kurus, bertugas sebagai operator.
Aku nampak semua yang berada di kiri dan kanan aku adalah kaum lelaki. Aku seorang sahaja wanita. Aduh! aku adalah kerani wanita yang pertama bekerja di pejabat Tanah Kota Bharu pada ketika itu. Sebelum memulakan tugas aku dibawa oleh Ketua Kerani untuk bertemu dengan Tuan DO atau Ketua Jajahan. Dia seorang yang mudah mesra dan baik budi bahasa dan tutur katanya.
Aku bermula sebagai kerani bahagian surat menyurat. Tugas aku adalah membuka dan membaca surat menyurat yang masuk dan keluar. Setiap surat yang masuk aku diarah catit tarikh surat itu diterima. Aku juga harus baca terlebih dahulu isi dan kandungan surat tersebut sebelum disusun atur atas file rak khas untuk disampaikan pula kepada pegawai yang berkaitan oleh seorang budak pembantu pejabat. Dari masa ke semasa aku mula didedahkan dengan berbagai tugas lain yang memberikan aku peluang belajar dan mengetahui semua selok belok pentadbiran dan pengurusan pejabat. Aku belajar buka dan simpan fail serta urusan mengutip hasil tanah dan menyimpan rekod kewangan. Aku juga belajar cara melayan dan bercakap dengan orang ramai di kaunter kutipan hasil dan sebagainya. Ada juga masanya aku diberi tugas melayan Pasangan pengantin berbangsa Cina yang datang untuk mendaftar perkahwinan mereka. Pegawai jajahan juga bertugas sebagai pendaftar nikah kahwin kumpulan etnik tersebut. Semua kerja aku lakukan dengan sempurna dan baik.
Tidak lama kemudian aku mula mendapat perhatian dari pihak atasan untuk menjalankan berbagai kerja selain dari tugas kerani. Selain dari bertugas di pejabat, aku juga mula dihantar keluar pejabat untuk membantu menghantar dan memberi bantuan makanan dan pakaian kepada mereka yang terlibat dalam bencana alam seperti banjir dan sebagainya, di sekitar kawasan Kota Bharu. Selepas itu aku juga diberi peluang melawat kawasan bersama “Tok Penggawa” dan “Tok Penghulu”.
Aku rasa amat teruja apabila berpeluang bertemu dengan orang ramai serta berpeluang pergi ke berapa tempat, yang sebelum ini, belum pernah aku tahu tentang kewujudan beberapa kampung tersebut. Berbagai nama kampung yang “pelik dan aneh” pada pendengaran telah aku temui. Ini membuat aku lebih seronok dan tertarik untuk bekerja lebih rajin.
Dalam masa setahun menjawat jawatan tersebut, aku telah menduduki dan berjaya lulus semua peperiksaan wajib untuk jawatan pegawai kerani sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syarat dan peraturan penjawat awam mengikut “Perintah Am kerajaan” atau General Orders pada masa itu.
Dengan kelulusan peperiksaan tersebut, aku sepatutnya telah diletakkan di bawah jawatan tetap. Namun rezeki aku belum ada, kerana sebaik sahaja aku berkahwin pada 1 September 1960, jawatan aku diputuskan selama satu hari dan diletak di bawah skim jawatan sementara.
Namun itu tidak menghalang aku untuk meneruskan tugas di pejabat seperti biasa. Dalam pada itu aku telah dilantik sebagai Ahli Penasihat Sekolah Perempuan Zainab, iaitu sekolah lama aku, dan pada masa yang sama aku juga dilantik sebagai salah seorang Ahli Panel Penasihat Mahkamah Kanak-kanak (Juvenile Court) Kota Bharu,Kelantan.
Sebagai ahli penasihat Sekolah Zainab aku diletakkan sebaris dengan 2 orang yang berpangkat Dato’, seorang ahli Yang Berhormat dan beberapa orang individu yang punya pengalaman luas dalam bidang mereka.
Aku anggap kedudukan tersebut, sebagai satu penghargaan kepada diri aku yang kerdil ini. Aku mewakili kerajaan untuk mengisi semangat perjuangan sebuah negara yang baru Merdeka. Kebetulan pula aku sememangnya aktif dalam persatuan penuntut Melayu Kelantan dan pernah jadi Setiausaha persatuan tersebut. Aku juga turut menjadi ahli biasa badan induk persatuan pelajar Melayu Semenanjung yang dikenali sebagai Gabungan Pelajar melayu Semenanjung (GPMS). Aku juga rajin bergiat aktif dalam persatuan Belia dan kebudayaan negeri Kelantan dan pernah menjadi wakil persatuan itu ke Kuala lumpur dalam acara Kebudayaan sebagai Penari utama, semasa perayaan Hari Malaysia tahun l963.
Pelantikan aku sebagai ahli panel penasihat Mahkamah Juvana, Kota Bharu dibuat oleh pihak Mahkamah Majistret Kota Bahru, manakala pelantikan sebagai Penasihat Sekolah Zainab dibuat oleh kerajaan negeri.
Sebagai ahli panel aku diberi tempat duduk istimewa, di sebelah kanan Hakim Mahkamah Kota Bharu. Aku membantu Hakim semasa menjatuhkan hukuman jenayah yang dilakukan oleh “juvana”. Lazimnya 2 orang ahli panel hadir setiap kali kes perbicaraan dijalankan.
Sebelum keputusan menjatuhkan hukuman ke atas pesalah juvana, kami akan merujuk kepada laporan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah tempat pesalah berkenaan bermastautin. Tuan Hakim akan terlebih dahulu menerangkan kepada kami (ahli penal) jenis hukuman mengikut undang-undang yang ada, untuk kami fikirkan bersama, jenis hukuman yang patut dikenakan, kepada pesalah tersebut.
Selain dari berpeluang duduk sebelah Hakim Mahkamah Majistret, aku juga berpeluang mengenali dan berkawan dengan beberapa orang pegawai Kebajikan Masyarakat setempat. Berpandukan latar belakang yang mereka sediakan dan keterangan Hakim, kami akan membuat keputusan atas hukuman yang sesuai untuk dijatuhkan oleh Mahkamah kepada pesalah yang sedang dibicarakan. Sebahagian besar kes Juvana, adalah mencuri motor, pecah rumah dan kes-kes salah guna dadah.
Ada juga beberapa kes di mana ibu bapa sendiri yang menghantar anak mereka ke Mahkamah untuk dibicarakan, kerana tidak mampu mengawal anak mereka, yang liar dan sentiasa lari dari rumah (beyond control). Mereka meminta agar anak mereka dihantar ke pusat pemulihan yang disediakan oleh kerajaan.
Kanak-kanak yang didapati bersalah, akan di hantar ke pusat pemulihan akhlak. Terdapat beberapa sekolah pemulihan akhlak yang dikelolakan oleh Jabatan Kebajikan masyarakat. Sekolah Tunas Bakti,umpamanya adalah untuk menerima kes yang ringan atau ke Sekolah Henry Gurney, bagi kes yang lebih berat. Biasanya, pesalah yang telah mencapai umur 18 tahun akan dihantar ke Sekolah Henry Gurney, Kuala Lumpur, untuk menjalani pemulihan akhlak yang lebih agresif.
Penglibatan aku dalam berbagai kerja sukarela ini telah menjadikan aku cepat dewasa dengan mempelajari dan memahami berbagai permasaalahan hidup dalam masyarakat. Dengan latar belakang ini menjadikan aku lebih peka kepada keadaan sekeliling. Apabila aku berpindah ke Kuala Lumpur pihak Kementerian Kebajikan Masyarakat telah menyambung khidmat aku sebagai Ahli lembaga Pelawat Sekolah Tunas Bakti, yang terletak di Sungai Besi. Oleh kerana minat dan komitmen aku kepada sekolah ini, aku berkhidmat hampir 30 tahun, iaitu dari Januari 1971 hingga 31 Mei 1999.
Aku juga dilantik sebagai ahli panel Penasihat Mahkamah Juvana Kuala Lumpur dari tahun 1978 sehingga 1985. Pelantikan itu diwartakan dalam Warta kerajaan. No 62 jilid 22 bertarikh 28September 1978.
Mungkin perkara ini tidak begitu penting pada setengah orang, tetapi bagi aku, ia merupakan satu penghargaan yang amat tinggi dan istimewa buat aku yang baru berumur dalam lingkungan dua puluhan, ketika mula dilantik.
Tawaran kerja yang tidak putus-putus.
Suatu hari, En.Aziz Abu Hassan datang ke pejabat tempat aku bekerja. Dia perkenalkan dirinya dan menyatakan hasratnya untuk menjemput aku datang ke tempat dia menginap iaitu “Rest- house”, Kota Bharu selepas habis kerja petang itu.
Dia tidak memberitahu tujuannya. Aku ingat dia mahu bertanya sesuatu mengenai kerjaya aku. Setibanya aku, pada pukul 5.00petang, En.Aziz Abu Hassan, sudah sedia menunggu. Beliau memberikan aku satu skrip yang telah disediakan dan menyuruh aku membacanya sambil dia merekodkan suara aku ke dalam alat pita rakaman yang terletak atas sebuah meja, berhampiran tempat kami duduk.
Setelah aku selesai membaca, dia kata “ok. Esok kita buat recording”.
Aku tak faham apa maksudnya pada saat itu, tetapi bila dia menambah “you have a good microphonic voice,” barulah aku mengerti bahawa, aku mendapat tawaran kerja tanpa diduga dari RTM. Bukan aku yang mencari kerja, tetapi sebenarnya, kerja yang datang mencari aku. Aku hebat!
Rakaman pertama dibuat di rumah aku sendiri. En Aziz Abu Hassan membawa sebuah mesin rakam suara ke rumah bernombor 4661, Jalan Pasir Puteh, Kota Bharu, pada 1 September 1960 lebih kurang pukul 10.00 pagi. Rakaman berjalan lancar dan Encik Aziz sangat berpuas hati dengan rakaman tersebut. Bermula dari hari itu, aku mula memegang dua jawatan dalam satu masa.
Apabila studio RTM di Wakaf Che Yeh siap aku diberi tugas di studio dan juga untuk menjadi Pengacara rancangan “Dupa Irama” sebuah rancangan hiburan yang menampilkan kumpulan ahli muzik dan beberapa orang penyanyi tempatan. Rakaman rancangan itu ada yang dibuat di luar Studio, untuk merapatkan hubungan antara RTM dengan penduduk tempatan. Salah satu rakaman yang aku masih ingat adalah rakaman yang dibuat di Dewan Kolej Sultan Ismail, Kota Bharu. Itulah pertama kali aku terlibat dengan rakaman luar. Aku berdepan dengan jumlah penonton yang ramai memenuhi Dewan Sultan Ismail College (SIC). Aku berdebar juga, namun dapat mengawal perasaan takut dengan tunjuk ajar dan bantuan dari penerbit rancangan hiburan tersebut iaitu sdr. Hamidon Zain yang memberi aku keyakinan dan dapat menjalankan tugas dengan sempurna.
Melalui rancangan hiburan ini dapat pula aku bertemu dan berkenalan dengan ramai penyanyi. Antaranya adalah, Wan Salman Ahmad, yang bersuara lunak. Yang bersuara garau Ismail Ali Muda, yang bersuara merdu dan cantik molek, Nik Hasni serta beberapa ahli muzik yang terkenal seperti Johari Salleh, Ahmad Salihin dan lain-lain.
Aku juga terlibat dengan drama yang berlatar belakang suasana kehidupan sebuah keluarga orang tempatan bernama “Kampung Senang”. Aku diberi peranan sebagai Mek Yah. Siri ini amat digemari oleh pendengar tempatan kerana menggunakan loghat Kelantan yang pekat. Aku menjadi seorang “selebriti kecil”secara tak sengaja juga.
Kami membuat rakaman setiap minggu dan melibatkan ramai juruhebah tempatan seperti Mohamed Latiff dan Mohamed Hassan.
Setelah studio Wakaf Chek Yeh siap sepenuhnya ramai kakitangan dari Kuala Lumpur telah didatangkan dan khidmat kami makin tidak diperlukan. Namun aku sempat berkenalan dengan Tahir Ramli, Dom Madzi, Daud Hamzah dan Wan Chik Daud. Mereka ini merupakan “nama-nama” besar di RTM ketika itu.
Apabila aku berhijrah ke Kuala Lumpur, akhir tahun 1969, sekali lagi aku memasuki bidang penyiaran. Kali ini aku jadi “guru TV pendidikan” dan merakamkan beberapa program “Sain untuk tingkatan I dan II” untuk siaran ke sekolah-sekolah. Rakaman TV pendidikan dibuat di Angkasapuri Kuala Lumpur dalam tahun 1972. Pengalaman membuat rakaman tersebut juga memberi aku peluang beraksi di depan kamera TV dan dapat berkenalan dengan beberapa orang guru TV pendidikan yang lain termasuk salah seorang daripada mereka ialah Datin Masnah Rais.
Salah satu rakaman radio yang masih segar dalam ingatan adalah rakaman untuk program “Ole Ole Pantai Timur “ yang pertama dibuat bersama En.Aziz Abu Hassan dirumahku. Ia dibuat pada hari aku di ijab Qabul dengan suamiku Nik Abdul Rashid bin Nik Abdul Majid, seorang Juruteknik dari Jabatan Ukur, Kota Bharu. Rakaman dibuat pada waktu pagi dan majlis perkahwinan pula pada sebelah malam itu juga. Majlis pernikahan kami sangat meriah dan dihadiri oleh ramai kaum kerabat terdekat dan rakan sepejabat kami berdua.
Perkahwinan kami merupakan satu majlis yang paling “gempak” pada ketika itu. Kami mendapat hadiah perkahwinan begitu banyak dan kotak-kotak hadiah kami bertimbun-timbun dan mengambil masa beberapa hari untuk diangkut oleh lori Pejabat Perbandaran Kota Bharu. Kami menerima begitu banyak hadiah air wangi, barangan elektrik, alat kelengkapan dapur, pinggan, gelas dan cawan dan berbagai lagi. Setengah daripada hadiah tersebut masih lagi tersimpan dengan baik sampai kini.
Peristiwa rakaman dan majlis perkahwinan itu berjalan dengan tersusun dan teratur tanpa sebarang gangguan atau masalah.
Setelah semuanya selesai, kami suami isteri mengambil cuti seminggu untuk berbulan madu di Pulau Pinang dan Haadyai. Sembilan bulan kemudian aku melahirkan seorang puteri dan pada tahun berikutnya aku melahirkan seorang lagi puteri.
Aku selalu di usik oleh kawan, kerana terlalu awal berkahwin dan terlalu awal mendapat anak. Ketua Jajahan Kota Bharu, Dato’ Ismail pada waktu itu juga, sering bergurau dengan aku. Antara “kata-katanya yang aku masih ingat ke hari ini adalah, “Kenapa kahwin cepat sangat, orang nak bagi dia jadi ADO”. Kembang juga hidung aku dibuatnya. Dalam “diam-diam” rupanya sudah ada tanda-tanda aku akan dinaikkan pangkat.
Berkat usaha, rajin, cekal dan kesungguhan, aku berjaya membeli sebuah kereta Ford Prefect bernombor pendaftaran
T 6927, setahun kemudian. Masa itu aku baru berusia 22 tahun. Kereta itu masih baru, tetapi oleh kerana suami sepupu ibu, ingin tukar kereta, dia setuju menjual kereta lama itu kepada aku. Aku membayar secara ansuran. Dengan kereta itu, kerja aku menjadi lebih mudah dan rezeki aku mula melimpah ruah.
Kerja sebagai kerani di pejabat tanah, bermula pada pukul 8.00 pagi hingga 4.30 petang. Selepas selesai kerja di pejabat tanah, terus memandu ke Radio Wakaf Chek Yeh, untuk bertugas selama satu jam.
Selain dari bekerja di RTM sebagai Juruhebah sambilan, aku juga jadi guru kelas dewasa di Kedai Mulong, yang letaknya lebih kurang 14km dari bandar Kota Bharu. Aku mengajar 3 kali seminggu dari jam 8.30 hingga 10.30 malam.
Tiga kali seminggu, aku paling sibuk kerana terpaksa berkejaran dari satu tempat kerja ke tempat kerja yang lain. Aku hanya sempat balik mandi dan bertukar pakaian.
Tawaran jadi guru kelas Dewasa juga, datang secara tak sengaja apabila aku terserempak dengan bekas guru yang pernah mengajar aku di Sekolah Melayu Langgar dulu. Dia juga adalah bekas bekas biras ibuku. Ibu aku berkahwin buat kali kedua semasa aku berumur 15 tahun. Tapi suaminya meninggal dunia 3 tahun kemudian.
Kami bertemu di jabatan Pelajaran Kota Bharu ketika aku sedang mengambil borang kemasukan semula untuk salah seorang anak-angkat aku Chek Mud (Mahmud bin Awaang Ngah). Tawaran kerja itu dibuat kepada aku, sebab secara kebetulan dia sedang mencari guru untuk “mengajar kelas dewasa yang baru di mulakan di negeri Kelantan” katanya. Dia bertanya, samada aku berminat menjadi guru sambilan. Bila aku angguk tanda setuju, dia terus memberikan borang untuk diisi. Maka bermulalah satu lagi kerja aku sebagai guru sambilan.
Aku beruntung kerana ada seorang anak sepupu yang sayang dan hormat aku. Ibu bapanya tinggal di Selatan Thai. Kalau mengikut umur, aku lebih tua sedikit dari usia dia, tapi dia selalu mengusik aku kerana dia suka tengok aku menangis. Aku anak tunggal ibu dan terlalu dimanjakan. Bila diusik sedikit, aku terus menangis. Dia seronok tengok aku menangis.
Walau apa yang terjadi, antara kami berdua tidak pernah berselisih faham atau bertengkar lama. Sekejap sahaja berkecil hati, selepas itu kami akan berbaik semula. Nama sebenar nya Nik Ahmad, tetapi aku suka panggil dia ‘Mat Gebeng’ kerana telinganya yang agak menonjol. Dia tidak pernah marah pada aku. Walaupun dia nakal, hatinya baik dan tidak pernah menolak permintaan aku dan sentiasa bersedia untuk teman aku ke mana sahaja aku pergi. Dia yang menjadi pembantu setia kepada aku. Dia bukan sahaja menjadi pemandu bahkan setia menunggu dalam kereta sehingga aku selesai dengan tugas aku. Ada kalanya jam telah menunjukkan 11.00 malam baru kami sampai di rumah.
No comments:
Post a Comment