Wednesday, July 01, 2020

makan budu



Makan budu

Tokwan suka makan budu durian. Kalau musim durian, budu durianlah antara hidangan utama kami. Makan budu dengan Tokwan terlalu istimewa buatku. Campuran budu tokwan tidak sama dengan orang lain. Tokwan campur kelapa parut dalam budu. Lain dari orang lain, sebab itu aku suka makan budu dengan Tokwan.

Apabila kami makan budu ia seperti satu pesta keluarga. Menu akan berubah dan ia akan jadi aktiviti bersama. Ibu akan sediakan lauk pauk yang boleh ‘kena Gu’ dengan budu. Biasanya ibu akan sediakan sayur lemak jagung muda dengan lidah bakar atau daging bakar sebagai menu utama. Untuk set campuran budunya, ibu akan bakar ikan kembung atau ikan tenggiri yang manis rasanya. Ulam-ulam segar seperti jering muda, kacang panjang dan timun yang telah dipotong, merupa ulam mesti ada. Oleh kerana nenek suka makan ulam-ulam yang lembut, ibu sediakan bekor bakar dan terung bakar khas untuk nenek.

Ibu akan sediakan satu pinggan khas untuk budu yang boleh memuatkan berbagai jenis ramuan perencah yang terpilih. Di dalam pinggan lain pula, ibu sediakan beberapa bahan untuk menjadikan hidangan budu istimewa buat kami sekeluarga menikmatinya.

Antara bahan-bahan pilihan kami adalah asam limau kerat lintang, durian kampung yang lemak manis rasanya, yang telah disediakan oleh Tokwan. Disamping itu juga tersedia sepiring kecil cili kecil tetapi pedas yang kami panggil lada burung dan sepiring kelapa yang telah di kukur sendiri oleh nenek.

Tokwan akan ‘perisi ikan’ ertinya mengasingkan isi ikan dari tulang nya, lalu di masukkan dalam pinggan khas yang telah ibu sediakan, bersama beberapa isi durian sekali dengan bijinya berserta dengan lada burung, yang pedas-pedas rasanya itu. Dipenyet-penyet dengan hujung jari tangan kanannya sehingga pecah dan pedasnya menyerap masuk dalam budu.

Kemudian Tokwan akan ambil asam limau yang telah sedia dipotong, lalu diperah keatas isi ikan dan isi durian, digaul-gaul isi durian dengan isi ikan dengan hujung jari, sehingga kelihatan terpalut dan bercampur menjadi sebati. Bau durian dan asam limau mula berbangkit dan baunya sungguh memecah selera dan pecah air liur. Kami tak sabar-sabar untuk menyicah dan mencalit jari-jari tangan kami yang sudah tersedia dengan ulam-ulam pilihan masing-masing ke dalam pinggan budu.

“Eh!nanti dulu! tak cukup lagi” kata Tokwan.

Kemudian dia ambil sedikit kelapa parut yang nenek sediakan, dimasukkan ke dalam pinggan budu tadi.

Wah! Lagi-lagi lah aku tak sabar.

Tugas Tokwan adalah untuk menjadikannya seakan-akan kuah, barulah kami dibenarkan menyeluk tangan kami dengan ulam pilihan masing-masing ke dalam budu. Aku dengan jering mudaku dan Tokwan dengan celur pucuk ubinya. Berebut-rebut makan bagai tak makan seminggu. Tak pandang kiri dan kanan. Biasanya kalau makan nasi dengan budu, nasi sepinggan memang tak cukup. Pasti akan tambah nasi lagi.

“Kalau makan nasi dengan budu, mertua lalu pon tak nampak!” gurau ibu sambil tersenyum puas.

No comments: