Latar belakang hidupku.
Aku dilahirkan selepas waktu Asar, 10 Oktober 1939, bersamaan 26 Sya’aban 1358, iaitu empat hari, sebelum umat Islam menyambut bulan Ramadan. Aku lahir di rumah secara normal dan disambut sendiri oleh nenek tiri aku, yang bernama Raja Aminah, seorang Bidan terkenal ketika itu. Raja Aminah adalah isteri muda Nik Mat Tahir, Datuk dan juga madu nenek, sebelah bapa yang aku sebut “Tokwanti”.
Aku jarang berjumpa kaum keluarga sebelah bapa. Kali pertama aku bertemu dengannya semula adalah ketika dia datang meraikan hari perkahwinan aku. Ketika itulah ibu memberitahu aku bahawa, inilah tok bidan yang telah menyambut kelahiran aku, 20 tahun yang lalu. Dia datang bersama anak perempuan tunggalnya yang tinggal di Selatan Thai.
Aku memang mempunyai ramai sepupu, sebab adik beradik ibu dan bapa mempunyai ramai anak. Kebanyakan mereka juga mempunyai ramai isteri dari jauh dan dekat. Kalau tak salah perkiraan aku, semasa aku kecil, aku ada tidak kurang dari 30 orang sepupu, yang terdiri dari lelaki dan perempuan.
Nama
Nik Zaharah adalah nama yang tertulis atas sijil beranak aku. Nama itu diberikan oleh Datuk kesayanganku, Nik Mustapha bin Nik Musa, yang akan ku panggil “Tokwan”selepas ini. Tokwan ialah datuk di sebelah ibu.
Nenek sebelah bapa pula ialah Nik Ti binti Wan Salam. Kecil molek orangnya. Aku memanggilnya “Tokwanti”. Dia nenek yang baik dan sering datang ke rumah untuk melihat dan bertanya khabar tentang diriku. Kadang-kadang dia bawa makanan untuk makan bersama. Rumah Tokwanti dekat dengan rumah kami, cuma diseberang jalan sahaja, lebih kurang 200 meter jaraknya dari rumah kami.
Tokwanti yang telah memberi nama Nik Saniah kepada ku. Aku tidak tahu sebab sebenar mengapa aku ada dua nama. Namun itulah nama yang telah diterima pakai semasa aku kecil. Waktu sekolah dulu, kaum keluarga, kawan-kawan dan guru-guru sekolah Melayu langgar semuanya hanya kenal aku sebagai Nik Saniah. Hingga sekarang pon, kalau aku bertemu waris-waris terdekat masih lagi memanggil aku Nik Yah (singkatan kepada Nik Saniah).
Nama itu kekal sehingga aku masuk sekolah Inggeris, apabila nama itu terpaksa digugurkan kerana masalah teknikal. Nama Nik Saniah itu bukan nama rasmi kerana tidak tertulis atas surat beranak. Sebaliknya nama Nik Zaharah telah tertulis, semasa Tokwan mendaftar tarikh kelahiranku di pejabat pendaftaran Kota Bharu.
“Nama Mek itu berarti bunga” katanya. “Mek” itu panggilan manja oleh keluarga untuk ku. “serupa dengan nama salah seorang puteri Nabi Muhammad S.A.W, iaitu Sitti Fatimah Az-Zaharah r.a, seorang anak yang suci dan mulia”, tambah Tokwan lagi menjelaskan, apabila aku bertanya sebab dia memilih nama itu untukku.
Mula-mula aku masuk sekolah Inggeris, aku rasa tersangat janggal dan tidak akan menjawab apabila orang memanggil aku ‘Zaharah’. Aku juga kurang selesa dengan nama itu. Salah satu sebab mengapa aku kurang berkenan dengan nama itu adalah kerana orang Kelantan lazimnya tidak menyebutnya dengan betul. Nama yang cantik pon tidak sedap didengar, kerana mereka suka memendekkan panggilan, konon untuk menyenangkan. Nama aku Nik Saniah, tapi mereka cuma panggil Nik Yah.
Satu lagi faktor yang menyebabkan aku terlalu sensitif, apabila huruf “z” dihadapan itu ditukar menjadi “J” ‘Zaharah’ disebutnya ‘Jaroh’.
Bagi ku, nama-nama yang baik harus disebut dengan betul kerana, apabila ibu bapa memilih dan memberi nama kepada anaknya itu, ia mengharapkan sesuatu yang baik dan menyebutnya juga harus betul dan cantik.
Pada aku, apabila huruf “Z” ditukar jadi “J” sebutan itu cukup kasar dan huduh bunyinya, pada pendengaranku dan hilang karismanya. Kadang-kadang aku mengamuk kerana namaku tidak disebut dengan betul. Kadang-kadang aku sendiri pon tidak faham kenapa aku terlalu sensitif dengan nama aku. Aku mengambil masa yang lama untuk menerima dan menggunakannya, kecuali terpaksa. Setelah bertukar dari zaman remaja kepada alam dewasa barulah aku mula menyesuaikan diri dengan nama itu.
Bapaku
Bapa bernama Nik Din bin Nik Mat Tahir. Semasa aku dilahirkan dia bertugas sebagai seorang Rubber Inspector (tertulis di surat beranak). Aku tidak mengenali bapaku semasa kecil kerana tidak pernah bertemu dengannya.
Bapaku adalah anak bungsu dari 5 orang adik beradik yang terdiri dari 4 laki-laki dan seorang perempuan seibu sebapa. Dari cerita-cerita yang aku dengar, dia anak manja dan gemar berjoli bersama-sama rakan-rakan. Perangai itu tidak berubah walau pon sudah bernikah dengan ibuku.
Aku tidak tahu cerita yang sebenarnya, kenapa mereka bercerai. Tetapi ibu pernah cerita tentang perangai boros bapa kepada aku, sehingga terpaksa minta ibu pinjamkan barang-barang kemas kesayangan ibu, untuk digadai. Apabila permintaannya ditolak, ia menceraikan ibu.
Namun hal itu tidak memberi apa-apa kesan keatas diriku. Apabila meningkat usia, barulah aku faham sedikit sebanyak mengenai dirinya. Dia seorang yang agak nakal dan berkahwin dengan ramai perempuan dan gadis-gadis dari beberapa tempat dan daerah. Dia kahwin sekejap-sekejap sahaja. Dari salah seorang isteri itu dia mendapat 2 orang zuriat lagi, keduanya perempuan. Isteri yang ini juga sudah dia ceraikan dan kedua orang anak itu pon turut ditinggalkan bersama isterinya di Kampung.
Tak sayang ayah
Aku memang tidak ada perasasan sayang padanya, apalagi merinduinya.Aku tahu, memang berdosa kerana tidak menyayangi ‘ayah’. Tetapi apakan daya, inilah perasaan aku.
Pada hemat ku, seorang bapa yang tidak bertanggungjawab keatas anak-anak nya itu, umpama seorang petani yang menanam pokok di atas tanah gersang di sudut halaman yang sepi. Dibiarkan hidup tanpa disirami air atau ditabur baja. Pokok itu dengan kuasa Allah tetap akan tumbuh dan membesar, tetapi tidak mungkin akan mengeluarkan buah yang manis dan sedap isinya untuk dimakan.
Begitu juga halnya dengan diriku ini, ada pihak yang telah menghukum aku sebagai berdosa kerana tidak menyayangi bapa sendiri.
Kasih sayang itu akan hanya hadir dalam diri seseorang. Ia hanya akan terzahir apabila seseorang itu merasa dirinya dihargai dan dikasihi. Cinta dan sayang hanya boleh dirasai apabila, kehangatan tubuh badannya untuk dicium bau dan merasai kasih sayangnya. Aku tidak pernah lihat dia, apa lagi merasa sentuhan kasih sayangnya.
Anak kucing pon akan sayang kepada manusia yang memberinya makan dan memanjakan ia setiap hari. Tetapi amat mustahil seandainya manusia yang tidak pernah menunjukkan kasih sayang, akan dapat merasai dan menerima kasih sayang dari orang lain. Begitu juga perasaan aku terhadap bapaku. Tidak ada langsung rasa kasih sayang ku kepadanya. Sampaikan untuk menyebut perkataan ‘ayah’ juga terbeban,berat dan keras lidah ku.
Bapaku pulang
Aku mula mengenali bapa sekitar tahun 1953 apabila dia pulang membawa isterinya yang terbaru, seorang pekerja kilang mancis dekat Kota Bharu, Halimah namanya. Ibu tiriku membahasakan dirinya ‘Maksu’. Dia tidak mempunyai anak dan cuba rapat dengan aku. Aku tetap tidak merasa apa-apa terhadapnya.
Semenjak itu, barulah aku kenal bapa. Namun aku tetap menjauhkan diri dan jarang bercakap dengan dia. Tidak lama kemudian Maksu berhenti kerja dan basikal lamanya dihadiahkan kepada aku.
Sebagai menghargai pemberian itu, aku biasakan diri menjenguk mereka sekali sekala. Basikal itu pon aku gunakan untuk pergi ke sekolah, setelah memasuki Kelas Special Malay I, di Zainab English school di Merbau, lebih kurang 3 km jaraknya dari rumahku. Namun perasaan aku masih tidak berubah. Ada tembok memisahkan kami.
Bapa membuka sebuah kedai membaiki jam, tidak jauh dari rumahku, di simpangan jalan tidak jauh dari tanah kebun getah nenekku. Kedai itu terletak atas sekeping tanah, tidak jauh dari rumah kediaman Tokwanti sendiri. Itulah satu-satunya kedai jam disitu.
Disamping mengusahakan kedai jam, dia juga mempunyai sebuah kedai kopi kecil yang disewakan kepada seorang peniaga bangsa Cina. Tidak berapa lama kemudian, Maksu berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Namun sebagai seorang yang pernah bekerja, dia tidak boleh duduk diam. Maksu mula berniaga secara kecil-kecilan menjual nasi berlauk, di sudut kedai kopi yang disewakan kepada orang Cina, itu pada setiap pagi.
Itu merupakan perkongsian yang menang-menang bagi kedua belah pihak. Kedai kopi bertambah maju dengan adanya sarapan pagi disitu , kerana dapat dua dalam satu. Sambil-sambil minum kopi, boleh juga makan nasi berlauk. Nasi berlauk dan nasi dagang Maksu tersangat sedap. Kadang-kadang dia mengirim kepadaku, sebungkus nasi berlauk ikan tongkol kegemaranku.
Perniagaan nasi itu semakin lama semakin terkenal dan laris. Maksu tak lepas tangan melayan pelanggan yang datang, yang semakin hari semakin bertambah. Bukan sahaja orang-orang Langgar bahkan orang-orang yang jauh dari Kubang Kerian pon, sanggup datang. Bapa terpaksa menutup perniagaan jam yang dijalankan, untuk membantu Maksu. Setelah dia menutup kedai jam, bapaku menjadi pembantu setia kepada Maksu.
Setiap hari sebelum pukul 3.00 petang, dia sudah keluar ke pasar untuk membeli barang-barang keperluan. Pukul 5.00 petang giliran Maksu pula membuat persiapan untuk memasak. Ikan dan ayam perlu disiang dan dibersihkan sebelum ia dimatikan dengan air garam dan asam. Maksu sangat mementingkan kebersihan bahan-bahan dan peralatan masakannya. Santan segar dimasukkan setelah semua rempah asam dan garam nya telah betul-betul meresap ke dalam ayam atau ikan. “Agar gulai lambat basi”, jelasnya apabila aku bertanya kenapa dia tidak terus masukkan santan.
Maksu akan menumis ayam atau daging dengan rempah-rempah yang telah disediakan sehingga naik baunya. Kemudian barulah dimasukkan asam dan garamnya. Jam 3.00 pagi, dia sudah bangun untuk membuat persiapan akhir perniagaannya. Pukul 6.00 pagi atau setelah selesai menunaikan solat Subuh, dia sudah mula berniaga. Lazimnya jam 9.30 pagi semua makanan sudah habis dijual.
Sementara Maksu berniaga, bapa minum dan makan di kedai kopi, sambil berbual bersama mereka yang datang minum kopi dan makan disitu. Setelah selesai Maksu berniaga, giliran bapa pula untuk mengemas dan membawanya pulang ke rumah. Apabila semua barang-barang jualan siap dicuci dan dibersihkan, mereka menyimpan di atas rak untuk dikeringkan. Sangat bersih dan tersusun rapi. Aku perhatikan semua periuk Aluminium cap ‘buaya’ buatan Siam yang digunakan Maksu, digosok hingga bersinar seperti baru. Rumah mereka terletak di belakang kedai kopi itu sahaja.
Hasil dari perniagaan nasi berlauk dan nasi dagang tersebut, mereka berdua telah berjaya menunaikan Haji ke Mekah dan mendirikan sebuah kedai kopi yang lebih besar dan sebuah rumah kediaman yang baru.
Kedai kopi ini juga di sewa kepada peniaga Cina. Mereka berdua terus menjalankan perniagaan Nasi berlauk dan Nasi dagang, di tepi kedai kopi tersebut sehingga mereka bersara dari berniaga. Bapa meninggal dunia dalam tahun 1985 waktu berusia 75 tahun dan ibu tiriku meninggal beberapa tahun kemudian.
Ibuku
Hajjah Nik Thom binti Nik Mustapha, adalah duniaku. ‘Tiada kata secantik bahasa untuk ku sebut namamu’ kata P.Ramlee. Ibu sebagai roh dan nyawaku. Anak bungsu dari 3 beradik seibu sebapa, ibu adalah seorang yang berjiwa murni dan berhati mulia. Ibu ada lagi 5 orang adik beradik tetapi dari berlainan ibu.
Ibu adalah seorang yang sangat sederhana, baik dalam cara berpakaian, gerak geri dan tutur katanya. Aku tidak pernah mendengar dia meninggikan suara kepada sesiapa dan cukup sopan dan tertib orangnya.
Ibu tidak pernah bersekolah, tetapi boleh membaca Qur’an dan menulis dengan baik. Tulisan jawinya juga cantik dan jelas. Dia meninggalkan beberapa wasiat dalam tulisan jawi. Banyak nota-nota tentang Islam disalin ke dalam buku diarinya . ‘Belajar sendiri’ katanya , bila aku tanya bagaimana dia boleh menulis dan membaca.
Ibu lah tunggak dan permata hatiku. Selain dari pandai memasak, menjahit baju kanak-kanak, ibu juga pandai membuat berbagai jenis barang hiasan dari benang untuk perhiasan tempat tidur seperti, sarung bantal, kain cadar, penyangkut kelambu dan lain-lain. Selain dari itu ibu juga pandai membuat kipas pengantin yang dibuat dari kain baldu yang dihias dengan benang emas dan manik. Ibu juga seorang wanita yang bijak mengurus kewangannya.
Walau pon tak pernah bersekolah, ibu tahu teknik dan cara bagaimana menambahkan pendapatan. Dia tidak pernah membazir wangnya.
Aku masih ingat bila aku menyerahkan semua wang gaji pertamaku sebanyak rm140.00, sebagai tanda kasih sayang ku kepadanya, diawal tahun 1959. Sedikit pon tidak disentuh wang itu untuk dirinya. Dengan wang tersebut dia telah membeli seutas rantai emas, sepasang subang dan sebiji loket yang lengkap dengan jurai-jurai. Set loket bertatahkan permata delima berwarna merah darah ikan yang sangat cantik. Diserah semuanya kepada aku setelah diambilnya dari kedai.
“Ini loket Saira Banu”, katanya semasa menyerahkan loket itu kepada ku. Saira Banu adalah nama sebuah filem Hindustan yang menjadi kegilaan ramai ketika itu.
Telah menjadi kebiasaan kepada peniaga-peniaga di Kelantan, untuk memberi jenama tertentu barangan ciptaan yang terbaru, mengambil sempena nama-nama popular sebagai tarikan dan mempromosikan kepada pembeli.
Ibu seorang penyayang.
Walaupun tanpa belaian kasih sayang seorang bapa, aku boleh hidup seperti kanak-kanak biasa yang lain. Ibu menjaga dan memberi aku penuh perhatian dan kasih sayang. Diasuh, dibelai, dididik dan dijaga aku bagai menatang minyak yang penuh, sedikit tidak diberi tumpah. Ibu tidak pernah marah aku, malah kena jentik pon tidak pernah. Ibu seorang yang teramat baik dan suci dan mulia hati nya. Ibu juga jarang bermasam muka dengan kaum keluarga dan kawan-kawan. Aku tahu dia banyak berkorban untuk membesarkan aku, namun dia tidak pernah menunjukkan kesusahan atau kepayahan sepanjang masa dia membesarkan aku.
Makan minum ku tak pernah kurang, malah kadang-kadang aku rasa agak terlalu mewah. Apabila aku pulang dari sekolah, makanan telah terhidang di dalam pinggan mangkuk yang sediakan khas untuk aku. Sebuah saji mengkuang bercorak biru-putih-merah berbelang-belang, menutup makanan tersebut, yang terletak di atas tikar mengkuang, di ruang tengah rumah kami.
Biasanya aku makan sendirian. Ibu tidak akan membenarkan orang lain menyentuh makanan itu sebelum aku. Jarang aku makan dengan orang lain kecuali dengan Tokwan. Amalan makan bersendirian ini diteruskan walau pon kaum keluarga yang datang tinggal di rumah kami bertambah. Aku tetap akan makan dulu, sebelum orang lain.
Lauk pauk yang ibu sediakan tidak pernah kurang dari 4 jenis yang terdiri dari ikan, daging, sayur-sayuran dan sambal cili hidup. Semuanya kegemaranku. Semua ibu masak sendiri. Menu juga diubah atau ditukar mengikut selera, dan juga mengikut apa yang ibu pesan pada hari itu.
Ikan yang paling istimewa adalah gerung atau bawal cermin, sebab rasanya manis, terutama biji matanya yang besar dan berlemak-lemak. Masakan yang paling sedap ialah gulai lemak lengkuas yang ibu masak. Kadang-kadang sayur lemak umbut kelapa juga menjadi pilihanku, tetapi oleh kerana susah nak dapat, maka jarang aku dapat sayur kegemaranku itu. Namun daging goreng batang pinang dan lemak Cenonok (bahagian ini tidak hancur bila dibakar/goreng) dan lidah bakar juga hampir setiap minggu disediakan untukku.
Yang paling aku rindu adalah lidah yang dibakar di atas dapur arang. Ibu akan menghiris nipis-nipis dan kami makan segera ketika masih panas-panas.
Aku juga suka makan pucuk-pucuk daun yang selalu ibu kutip kalau dia pergi kekebun. Aku juga suka celur betik muda cicah budu.
Ibu dan nenek juga pandai menyediakan berbagai dan beraneka jenis kerabu menggunakan sayur dan buah-buahan segar sebagai bahan-bahan utamanya. Kerabu kacang botol, kerabu terung, kerabu jantung pisang, kerabu nangka muda dan lain-lain. Tetapi yang paling istimewa, adalah kerabu buah beko yang nenek buat. Sampai sekarang pon kalau teringatkan kerabu buah beko, kecur air liur ku. Salah satu lagi lauk yang aku rindu dan terbayang-bayang adalah, masakan acar pedas pisang benggala yang ibu buat. Tetapi sekarang aku jarang jumpa buah pisang tenggala muda.
Buah Tembikai juga ulam kesukaan kami. Biasanya selepas musim hujan, ibu akan sediakan sedikit buah ini untuk makan bersama-sama nasi. Buah ini sangat manis dan menyelerakan, terutama di musim panas.
No comments:
Post a Comment