Thursday, July 02, 2020

Jenis-jenis lauk kesukaan kami.

Jenis-jenis lauk kesukaan kami.


Ibu akan pastikan kami dapat kepala ikan dan daging Musir dalam (batang pinang), sekurang-kurangnya sekali seminggu. Kadang-kadang ibu beli sedikit hati lembu,lidah, perut, celepung (pelampung),tulang dan berbagai lagi sebagai tambahan. Ibu beli sekadar mengalih rasa atau mengubah selera.

 

Walau pon bekalan elektrik sudah ada, rumah kami tidak ada peti sejuk ketika itu, jadi kami terpaksa membuat tempahan bahan-bahan segar untuk dimasak pada hari yang sama dan makan pada hari yang sama juga. 


Kami menempah daging dari seorang peniaga daging bernama Mak Moh, yang tinggal di kampung Kubur Maras, yang terletak tidak jauh dari rumah kami. Dia datang dari keluarga penternak lembu yang sangat berjaya di kampung tersebut. 


Keluarga ini masih kekal sebagai keluarga peniaga daging yang terkenal dan berjaya sehingga hari ini. Tetapi jenis perniagaan telah berubah dari menjual daging segar kepada pengusaha sambal daging yang terkenal di Kelantan. Jalan Kubor Maras sekarang telah dijadikan salah satu kawasan  pelancongan negeri Kelantan, di bawah projek ‘satu kampung satu produk’. Disini semua jenis sambal daging atau serunding dijual termasuk sambal serunding ikan, udang dan ayam. Sambal serunding boleh disimpan berbulan-bulan tanpa rosak atau bertukar rasanya. Ia sangat sesuai dimakan bersama nasi, roti atau pulut.


Mak Moh akan singgah di rumah kami setiap kali dia keluar berniaga. Dia akan singgah di setiap rumah pelanggan tetap nya terlebih dahulu, sebelum dia meneruskan perjalanannya ke rumah lain. Dia akan menghantar apa yang kami pesan dan mengambil tempahan yang lain pula. Dia akan  singgah dan dari rumah ke rumah sehingga habis jualannya. 


Kami sekeluarga jarang pergi membeli sendiri di pasar, kecuali jika ada urusan kenduri kendara saudara mara, dan perlu beli barang-barang dalam jumlah yang banyak. 


Ikan dan sayur-sayuran, ibu tempah dari seorang penjual yang datang dengan basikal setiap pagi. Ibu akan beli sekadar cukup untuk sekali atau dua kali makan. Esoknya akan beli lagi. Kami pon tidak membeli terlalu banyak, cukup untuk makan hari yang sama. Sarapan pagi, kami beli sahaja. Kadang-kadang kami beli nasi kerabu dari Wakaf Langgar dengan harga 10 sen sebungkus. Sedapnya menjilat jari.


Perbelanjaan harian kami tidak banyak. Ibu hanya membeli apa yang perlu sahaja. Kepala ikan Gerung (bawal cermin), Tenggiri, Kembung, Selar kuning, Tambang, Bawal hitam secara bergilir-gilir, agar tidak jemu.  


Kami tak pandai makan ikan jenis lain. Ikan sungai atau ikan darat memang tak pernah kami sentuh dan tidak kenal, sehingga aku tinggal di Johor Bahru dan kemudian di Kuala Lumpur baru lah aku mulai kenal jenis-jenis ikan yang lain. Ketika tinggal di Johor aku belajar sesuatu yang baru. Orang Johor tak makan ikan tongkol kecuali orang keturunan Boyan. Di Sebelah Pantai Timur ia dikenali sebagai  Ikan Ayo dan amat digemari sebagai lauk Nasi Dagang. Di Johor juga aku baru kenal  Tempeh, makanan orang Jawa.


Adat beradab.


Sejak kecil aku dididik supaya makan secara beradab dan tertib dan tidak digalakkan makan dan minum sambil berdiri. Minum air pon tidak boleh mengeluarkan bunyi “gok..gok.. serupa dengan syaitan” kata nenek. 


Makanan tidak boleh sekali-kali diambil dengan tangan kiri dan hanya hujung jari digunakan semasa makan. Lauk pauk juga tidak boleh  diambil terlalu banyak sekali gus, untuk letak dalam pinggan nasi, saperti yang dibuat di majlis-majlis rasmi yang di panggil “makan Buffet’ di hotel-hotel oleh orang sekarang. 


Mengambil makanan bertimbun-timbun macam bukit amat tidak sesuai dengan adat orang kita.Orang tua didahulukan sebagai tanda hormat dan semasa mengambil makanan, tidak boleh bersilang tangan dan berebut-rebut. 


Nasi juga tidak boleh diambil terlalu banyak, sekali gus “macam Tok penyadap” kata nenek menegur perbuatan kami. Aku pon tak faham apa maksud nenek, tetapi aku membayangkan “ tok penyadap” sebagai seorang lelaki yang berbadan gemok, perut gendol memakai cawat, yang kerjanya  panjat pokok kelapa.


Duduk makan  pon tidak boleh sembarangan. Cara duduk lelaki berbeza dari cara duduk perempuan. Perempuan hanya boleh duduk bersimpuh dengan tangan kanan menongkat badan yang sedikit mengiring kehadapan dan lengannya rapat ke badan, manakala lelaki duduk bersila tegap. Perempuan dilarang mendirikan lutut semasa duduk, manakala lelaki dikecualikan dari larangan tersebut.


“Tak usah minun air banyak sangat ketika makan nasi, nanti kulit cepat kendur” nenek mengingatkan aku. “Kalau mamah makanan tu,  jangan sampai berbunyi, cap, cap,cap,serupa  makan dengan Syaitan” tambahnya lagi.


Nenek juga selalu pesan “sudah makan, basuh pinggan sendiri”. “Nasi tu jangan di buang merata-rata, nanti nasi tu menangis”. Sekarang ni susah nak ikut semua pesan nenek kerana duduk di Condo tak ada burung, kucing atau ayam yang akan mengutip makanan yang terbuang macam di rumah atas tanah, seperti dulu.


No comments: