Ibuku adalah dunia dan akhiratku
Ibu ku Nik Som binti Nik Mustsapha, adalah seorang yang sangat pemurah dan penyayang. Bila aku balik dari sekolah, ibu sudah sedia menunggu di pintu pagar rumah. Pintu pagar berdaun dua yang diperbuat dari papan itu agak tebal dan berat itu telah dibuka untuk menyambut kepulanganku.
Aku pon tidak sabar-sabar, sambil berlari memeluk dan mencium pipi ibu, sambil berlari naik keatas rumah. Beg sekolah aku tinggalkan di sudut batang pokok rambai, di hadapan tangga. Ibu tersenyum mengekori dari belakang, sambil mengambil beg sekolah yang aku tinggalkan tadi. Ibu tak pernah suruh aku membawanya naik ke rumah.
Ibu bukan sahaja membela dan menjaga aku dengan penuh kasih sayang, malah semua anak-anak aku juga turut mendapat belaian dan sentuhan kasih sayangnya. Sungguhpun kami mempunyai pembantu rumah-tangga, ketika anak-anak sedang membesar, ibu tidak pernah lepas anak-anak ku kepada mereka. Pada nya pembantu hanya untuk menjaga kebersihan serta mengemaskan rumah tangga agar sentiasa kelihatan cantik, kemas dan bersih. Kerja-kerja mendidik anak cucu adalah tugas ibu dan nenek.
Didapur pon pembantu hanya bertugas membantu menyedia dan menyiapkan bahan-bahan untuk masakan. Kerja-kerja yang memerlukan kepakaran seperti menumis dan memasak, akan dilakukan sendiri. Ibu amat cermat dan sentiasa menjaga kebersihan dan mutu makanan yang dihidangkan untuk kami sekeluarga.
Begitu juga dalam menjaga cucu-cucunya, dia tidak akan serah kepada pembantu bulat-bulat. Mereka hanya melayan semasa bermain supaya tidak terjatuh atau pon terlanggar barang-barang perhiasan kesayangan ku. Cucu-cucu tidak dibenarkan tidur dengan pembantu.
Oleh kerana aku banyak menghabiskan masa bekerja, maka anak-anak lebih banyak berada bersama ibu. Aku dapat rasa bahawa, mereka mungkin lebih sayang kepada nenek , yang mereka panggil 'Chek' daripada aku. Kemesraan antara mereka jelas terbayang apabila keluar berjalan-jalan. Semuanya berebut nak pegang tangan Chek.
Semasa ibu masih ada, aku jarang berpisah dengannya. Ibu ikut kemana sahaja kami pergi.
Aku hanya berpisah darinya selama 2 tahun, iaitu sewaktu aku menemani suamiku, semasa beliau melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat pada tahun 1967-1969.
Pada mulanya aku serba salah juga, hendak berpisah darinya dan anak bungsukum, Nik Adura Zuliana, yang pada waktu itu, baru berusia sembilan bulan dan masih menyusu. Tambahan pula aku belum pernah berenggang dengan ibu.
Tetapi setelah memikirkan tentang peluang keemasan untuk keluar negara hanya datang sekali seumur hidup, aku harus menerimanya sebagai satu dugaan yang perlu aku lalui dengan redha.
Keluar negara
Ini merupakan pertama kali aku keluar negara dan belum tahu keadaan hidup, cuaca dan adat resam orang lain. Sebelum ini, negera luar yang paling jauh aku pergi hanyalah keSingapura dan Hadyai. Itu pon sekadar empat lima hari sahaja.
Melancong ke negara asing itu memang minat aku semenjak kecil, terutama disebabkan aku gemar menonton filem-filem Hollywood, Hindustan dan Cantonese.
Pemandangan-pemandangan cantik dan menarik melalui filem-filem ini menimbulkan minat untuk berada sendiri di tempat-tempat tersebut.
Perasaan bimbang dan takut itu memang hadir dalam diriku seketika, namun perasaan itu tidak mengganggu keinginan untuk merebut peluang melihat negara orang puteh.
Sebelum ini, aku tidak ada pengalaman menjaga anak. Masak makanan sendiri pon aku belum pernah. Nama rempah pon aku belum tahu, apa lagi untuk mengenali dan menggunakannya.
“Allah telah membuka pintu rezeki kepada kami” aku memujuk dan menenangkan hati sendiri. Demi masa depan kami sekeluarga, aku harus bersama-sama suami, agar hasrat dan cita-cita untuk melanjutkan pelajaran nya tercapai. Aku tahu kesusahan dan kepayahan akan timbul kiranya aku tidak bersama suami. Makanan dan pakaian siapa akan uruskan sedangkan dia sibuk dengan kuliah. Aku sudah kenal suamiku semenjak 7 tahun yang lalu. Dia adalah seorang yang “cincai bocai” dalam hal menguruskan dirinya sendiri. Seluar yang dia pakai pon di tinggalkan celeput dihadapan pintu kamar mandi. Ia akan tinggal ‘celeput’ disitu sampai esok pagi, sekiranya aku membiarkan.
Begitu juga halnya, sewaktu kami mula-mula pindah ke Johor Bahru. Masa itu aku belum lagi dapat arahan bertukar. Jadi dia seorang sahaja yang pergi dulu. Apabila arahan bertukar aku diluluskan, barulah kami semua menyusul ke Johor. Alangkah terkejut “selak kera” kami semua, apabila melihat kulit telur, bertimbun-timbun di kawasan dapur rumah 2 tingkat itu.
Rupa-rupanya, semasa ketiadaan kami, dia tidak pernah buang kulit telur separuh masak yang dimakan setiap pagi, selama sebulan.
“Nak buang sekali gus” katanya apabila kami menegur perbuatannya.
Suami aku memang, tidak boleh di biarkan tinggal bersendirian, kerana dia tidak suka mengemas. Buku-bukunya tidak boleh diubah tempatnya. Dia lebih suka di biarkan berselerak sebab “mudah untuk dia mencarinya bila perlu” katanya. Dia akan marah, jika aku ubah tempat buku-bukunya semasa mengemas mejanya.
Aku bertekad menyusul suamiku secepat mungkin. Aku juga sedar bahawa tempat seorang isteri adalah disamping suaminya. Aku juga yakin bahawa. ibu dan anak-anak aku akan selamat. Aku tinggalkan mereka di rumah dan kampung halaman sendiri, dikelilingi kaum keluarga dan sahabat-sahabat terdekat.
Aku juga tinggalkan bersamanya, dua orang anak angkat yang telah boleh diharap. Che Mud 12 tahun dan Cik Yam memang anak yang baik. Chemud telah aku masukkan semula ke sekolah menengah tingkatan 1, setelah aku ambil dia sebagai anak angkat dari neneknya yang aku panggil Domek.
Domek adalah salah seorang keluarga tok bomoh yang selalu datang untuk merawat mata aku yang sakit semasa aku kecil. Dia menjadi kawan rapat Tokwan. Domek sangat sayang pada Chemud tetapi sanggup menyerahkan kepada ku kerana aku berjanji akan hantar dia kesekolah. Aku tahu dia tidak dapat meneruskan pelajaran kerana bapanya telah menghilangkan diri setelah bercerai dengan ibunya.
Bertolak ke Pittsburgh, Pennsylvania
Akhirnya pada bulan September 1967 aku dan dua orang anak perempuan yang berumur 5 dan 6 tahun, berlepas ke Pittsburgh Pennsylvania. Suami sudah dapat sewa sebuah apartment untuk kami sekeluarga. Sekitar tahun enam puluhan dulu, sangat susah untuk mencari tuan rumah yang sanggup menyewakan rumah mereka kepada orang-orang yang berkulit seperti kami. Ketika itu perasaan negatif kepada orang-orang keturunan “Coloured” masih tebal. Mereka lebih pandang kepada mulia kepada seekor anjing dari manusia yang berkulit hitam, terutamanya ‘negro’ yang menerima layanan yang amat buruk. Ada tempat-tempat dimana mereka ini tidak dibenarkan masuk sama sekali.
Mencari tempat yang sesuai untuk disewa
Salah satu perkara yang mula-mula aku pehatikan adalah masaalah mencari rumah sewa. Oleh kerana pada ketika itu, orang disana belum kenal dan biasa dengan orang kita, maka terdapat sedikit masaalah kecil. Masa itu orang putih sahaja yang boleh sewa rumah orang puteh. Banyak syarat yang dikenakan sebelum mereka bersetuju menerima kami. Namun kami bernasib baik dapat menyewa rumah keluarga berbangsa Yugoslavia bernama Mrs. Zorich di 432 Atwood street tidak jauh dari University. Ada perkhidmatan bas ke Downtown dan dekat dengan sekolah anak-anak.
Dalam usia 28 tahun, aku mula mengorak langkah belajar berdikari di negara orang yang jauh dan asing. Dengan wang biassiswa dari Ford Foundation kami mengatur semua perbelanjaan dengan penuh berhati-hati serta berjimat cermat.
Aku belajar masak sendiri, dengan makanan yang mudah-mudah. Setiap hari aku goreng telur dan sayur. Aku masak nasi pon banyak kali hangus dan kena ‘warning’ oleh tuan rumah kerana bau hangit. Tetapi aku terima sahaja, kerana memang aku tak pernah masak nasi sebelum ini.
Masa tu belum ada periuk nasi automatic. Mungkin sudah ada, tapi aku yang tidak membelinya. Orang Amerika pon belum pandai makan nasi macam kita. Tambah pula orang tuan punya rumah tempat menyewa pon berasal dari Yugoslavia. Setiap hari mereka hanya makan roti, pagi, petang, siang dan malam.
Beras pon susah nak dapat. Mujur dekat kawasan kami tinggal ada sebuah kedai “Korean Store” yang menjual berbagai makanan keperluan orang Asia. Tapi orang Asia masa itu belum ramai disitu. Jadi mereka tidak ada barang-barang yang kami perlu. Mereka hanya menjual kicap dan sos-sos korea. Harganya pula mahal. Tapi di Korean store ini aku mula kenali sedikit sebanyak makanan yang sesuai digunakan dalam masakan kita.
Sebelum datang kesini aku tidak pernah minat memasak, tetapi apabila sampai ke sini barulah aku terpaksa belajar kenal rempah. Aku mula belajar masakan melayu mengikut resipi ibu. Aku tahu kadang-kadang gulai aku kurang menjadi, tapi oleh kerana suami dan anak-anak makan sahaja, tidak merungut, aku jadi lebih rajin mencuba dan mencuba. Bila ada peluang, aku pergi belajar dengan salah seorang isteri kawan suami yang memang hebat memasak.
Setelah kedua-dua anak diterima masuk ke sekolah, di Holmes Elementary school, aku mula belajar menjahit pakaian sendiri menggunakan pattern yang telah siap. Sekolah tidak ada pakaian seragam. Aku teruja bila melihat anak-anakku mengenakan pakaian yang aku jahit sendiri.
Oleh kerana anak-anak pergi selama 6 jam tanpa henti,iaitu dari 9.00 pagi hingga 3 petang, aku ada banyak peluang melakukan berbagai aktiviti kegemaranku.
Selepas selesai menyediakan sarapan pagi, aku menghantar anak-anak ke sekolah terlebih dahulu sebelum ke Giant Eagle Supermarket, mencari barang-barang untuk masak. Berjalan kaki kesana kemari sudah menjadi amalan biasa. Selesai kerja di rumah, aku keluar lagi. Aku suka meronda seorang diri, masuk dari satu kedai ke satu kedai yang lain, sehingga habis kedai yang ada aku jelajahi. Aku akan pulang apabila tiba masa suami dan anak-anak balik. Berada di negara maju memang seronok. Semuanya ada. Kalau tak ada duit pon boleh cuci mata dan pasang angan-angan.
Aku memang suka jalan apabila berada di negara sejuk. Tak rasa penat. Bila aku mula pandai naik bas aku belajar pergi shopping dengan bas.
Masa mula-mula berada disana, aku tak berani berbelanja kerana setiap kali hendak membeli sesuatu, aku akan buat kira-kira dulu. Tengok harga dan kali dengan 3. Eh! Semua rasa terlalu mahal. Banyak barang-barang yang aku perlu, tak jadi beli kerana terasa mahal. Aku mengadu kepada suami aku tentang hal ini.
“Ba, dapat elaun dalam US dollar. Tak payah kali tiga, setiap kali nak beli barang” kata suami kepada aku apabila aku merungut semua barang mahal. “Kalau benda itu perlu, kenapa nak berkira sangat, belilah!” tambah suami, menyedapkan hati ku. Semenjak itu barulah aku berani membeli barang-barang yang kami perlu.
(Suamiku membahasakan dirinya ‘Ba’)
Semenjak anak-anak kecil lagi kerana semasa dia berada di Universiti Singapura, anak-anak masih kecil dan belum pandai menyebut bapa, papa atau daddy. Mereka hanya boleh menyebut ‘Ba’ dan ‘Ti’ sahaja. Bila kawan-kawan atau kaum keluarga bertanya dimana bapa pergi, Mereka akan menjawab “Ba gi Ti” yang bermaksud bapa pergi universiti).
.
Barang-barang disini betul-betul turun harga apabila ada ‘Sale’
Disebabkan disini ada 4 musim setiap tahun, banyak jualan murah dibuat setiap kali musim berubah. Barang-barang pakaian seperti kasut dan baju diberi diskaun habis-habisan, sebelum masuk musim baru.
Kasut dan baju bertukar setiap musim, secara drastik setiap kali musim bertukar. Baju musim sejuk dijual dengan potongan harga hingga 70 % bila hampir musim panas. Baju musim panas rekaan terkini, mula dipamerkan di gedung-gedung perniagaan, untuk menarik pembeli yang berpusu-pusu memenuhi ruang niaga yang besar-besar seperti Gambles, Kaufman, dan berbagai lagi.
Disini juga mudah dapat pattern untuk membuat berbagai baju. Aku beli pattern baju yang sudah siap dan belajar menggunting dan menjahit sendiri baju anak-anakku. Amat menyeronokkan apabila melihat baju itu siap dan anak-anak memakainya.
Hasil dari perancangan kewangan yang tersusun kami berjaya hidup sederhana dan boleh pula menghantar balik ke Malaysia, wang sebanyak U$300.00 setiap bulan untuk keperluan ibu dan anak-anak. Masa itu pertukaran mata wang asing tinggi. Bagi setiap dollar Amerika ibu dapat rm3.00. Ibu boleh dapat kira-kira rm 900.00 sebulan.
Aku rasa ibu telah berjaya menyimpan wang tersebut untuk membolehkan dia menebus kembali, semua barang-barang kemas yang telah digadai semasa aku bersekolah dulu. Aku nampak dia memakai semula barang-barang kemas yang dulu katanya disimpan, ketika aku kembali semula ke negara ini, dua tahun kemudian.
No comments:
Post a Comment