Asal usul keluarga NIK
Kami tinggal disebuah rumah yang sederhana besarnya, di sebuah kampung bernama Kampung Langgar. Kampung ini terletak hanya kira-kira 2 km dari pusat bandar Kota Bharu.
Kota Bharu adalah ibu negeri Kelantan, sebuah negeri di Pantai Timur, Semenanjung Malaysia yang terkenal dengan kekayaan hasil seni dan kraftangan tangan yang halus dan budaya dan adat resam yang tinggi nilainya.
Sebahagian besar penduduk di Kampung Langgar ini, terdiri dari keluarga yang namanya berpangkal “NIK”. Nik adalah gelaran kepada keturunan Raja atau Sultan. Mereka dikatakan berasal dari puteri-puteri raja yang berkahwin dengan orang kebanyakan yang tidak mempunyai apa-apa gelaran, saperti Tengku, Raja,Wan,Tuan atau Megat.
Hanya nama bapa sahaja yang boleh diturunkan kepada anak-anak. Jadi jika isterinya bernama Tengku,tetapi suami orang biasa, anaknya diberi nama Nik. Tetapi jika isterinya orang biasa tetapi suaminya Nik, anaknya akan mengekalkan nama Nik itu. Perempuan dari keturunan Syed adalah Syarifah. Jika Syarifah berkahwin dengan orang biasa, anak akan diberi nama Megat. Begitu juga dengan keturunan Raja Jembal yang turut memerintah Kelantan dizaman dulu. Anak-anak perempuan mereka ini pon akan memakai nama Nik jika berkahwin dengan orang biasa.
Ciri-ciri budaya dan adat resam orang Kelantan
Hidup dikandung adat , mati dikandung tanah.
Hidup bermasyarakat perlu ada penyatuan dan persamaan budaya dan nilai hidup yang disifatkan sebagai norma-norma sosial.Nilai adalah cara berfikir atau cara kita melihat sesuatu mengikut persepsi yang telah diterapkan ke dalam diri semenjak dari kecil lagi. Ia merupakan cara hidup yang telah diterima pakai oleh semua anggota masyarakat.
Orang Kelantan sangat terkenal dengan kekayaan seni dan budaya yang telah wujud sejak zaman berzaman.
Keturunan Nik di negeri Kelantan.
Kalau memperkenalkan diri ‘Saya Nik Zaharah’ orang akan terus mengatakan “oh! Awak orang Kelantan”. Inilah istimewanya nama Nik di dalam masyarakat Kelantan.
Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa, tidak semua Nik itu berasal dari keturunan yang sama. Terdapat 2 susur galur yang utama iaitu yang berasal dari Raja Bugis dan Raja Jembal.
Keturunan Nik mengikut salsilah yang ada pada saya,
Menurut apa yang aku tahu, Nik Langgar, berasal dari keturunan Raja Ali, anak raja Bugis yang telah mengembara dari negeri ke negeri Malbari kerana menuntut ilmu ugama Islam. Ia seorang yang alim dan waraq dalam ilmu ugama digelar Fakih Ali yang telah mengembara masuk ke Johor, Kota Tinggi,Trengganu dan Pattani.
Kelantan dulu diperintah oleh ramai Sultan. Sultan-sultan menetap dikawasan-kawasan tertentu. Tetapi tiada bukti kukuh tentang pemerintahan ini kerana tiada bukti yang nyata mengenainya. Semuanya berbentuk lisan atau cerita dari mulut kemulut. Misalnya dikatakan Cik Siti Wan Kembang pernah memerintah Kelantan, tetapi tiada bukti yang soheh mengenai kewujudannya? Kecuali gambar anak kijang yang dikatakan binatang kesayangannya. Dimana kuburnya, dimana istananya. Sedangkan masjid pon boleh kekal kehari ini, mana mungkin istana raja boleh lenyap tanpa kesan?Wallah.
Nik yang menjadi penduduk asal kampung Langgar adalah dari keturunan raja Bugis, bernama Nik Ali. Salah seorang keturunannya menjadi Raja Pattani. Dari keturunan Raja Pattani ini turun kepada Sultan Kelantan sekarang setelah Long Yunus berjaya menyatukan semua Sultan-Sultan di beberapa kawasan di negeri Kelantan. Keturunan Long Yunus yang memerintah negeri Kelantan dari tahun 1176 -1209 Hijrah yang berasal dari keturunan Raja Pattani.
Saya ada menyimpan salsilahnya. Tetapi telah rosak dan banyak tulisan nya sudah reput dan tidak jelas lagi. Keturunan inilah juga yang memerintah Kelantan sehingga kini.
Puak-puak Nik Langgar ini terkenal dengan kepandaian memasak lauk pauk. Kuzi kambing, kari daging, korma dan lain-lain lauk pauk semuanya merekalah juaranya.
Pada masa dulu resipi-resipi ini hanya milik keluarga Nik tertentu sahaja dan jarang di kongsi kepada orang lain kerana menjaga mutu dan keasliannya. Sehingga hari ini pon Rempah kampung Langgar tetap menjadi pilihan ramai.
Satu lagi kampung yang terkenal dengan keluarga Nik pada ketika itu adalah Kampung Kubang Pasu dan Kampung Banggol.
Mengikut pemerhatian saya, Nik yang tinggal di Kampung Kubang Pasu sangat istimewa. Kebanyakkan berkulit puteh melepak. Semuanya dan cantik-cantik pula, berbanding dengan Nik kampung langgar berkulit biasa dan bercampur-campur, ada yang gelap, ada yang cerah dan yang puteh melepak juga. Terkenal dengan masakan kueh pencuci mulut,yang manis-manis. Jala emas, buah tanjung, tahi itek, akok dan sebagainya adalah kelebihan mereka yang tinggal disini.
Keturunan Nik juga berasal keturunan Raja Jembal, dari keluarga Tuan Puteri Saadong dan Cik Siti Wan Kembang,yang pernah memerintah Kelantan sekitar tahun 1411 Mereka ini biasanya tinggal dikampung-kampung yang sedikit jauh dari bandar Kota Bharu. Ramai juga saudara maraku yang berkahwin dengan Nik yang bukan dari Kampung Langgar. Ada yang kahwin dengan orang Kampung Temangan, kampung Laut, Kampung Banggol, Kampung Kubang Pasu dan Merbau, tetapi semuanya dari keturunan Nik. Aku pon kurang pasti asal susur galur mereka.
Perkahwinan sesama keluarga atau anak beranak
Orang dulu-dulu sangat praktikal dalam menentukan hala tuju kehidupan masing-masing. Apa yang ada dikeliling mereka , itulah yang mereka gunakan dengan sebaik mungkin.
Dulu tidak ada kenderaan yang boleh membawa mereka dari satu tempat kesatu tempat yang jauh. Tidak ada kemudahan keretapi,bas, atau motor, apalagi kapal terbang. Yang ada hanyalah basikal. Itu pon bagi yang mampu, kalau tidak berjalan kaki sahaja kalau hendak kemana-mana. Mereka berjalan melalui jalan-jalan dan lorong-lorong yang berlumpur sekiranya hujan. Lagi-lagi kalau perjalanan yang jauh. Terpaksa mendaki bukit yang tinggi dan menuruni lurah yang curam. Jalan raya pon begitu terhad.
Jodoh pertemuan ditangan Tuhan.
Kata orang jodoh itu di tangan Tuhan.Jadi bila kita memerkatakan tentang jodoh, mungkinkah kita hendak mencari jodoh dengan orang yang jauh dari kampung kita?. Kenapa nak kahwin kan anak kita dengan orang lain, sedangkan yang dekat pon sudah ada. Orang Kelantan kata ‘senang nak berkira-satu loghat dan satu bahasa’.
Selain dari mengekalkan adat resam yang dipusakai dari turun temurun, keluarga Nik ini juga mengamalkan institusi kekeluargaan yang agak tertutup. Mereka tidak membenarkan perkahwinan dengan orang ‘luar’. Orang luar bererti orang yang bukan dari keturunan Nik. Mereka akan hanya berkahwin dengan saudara mara sendiri, saperti dengan sepupu, dua pupu atau tiga pupu atau dengan saudara mara yang dari keturunan yang sama.
Aku sendiri telah berkahwin dengan sepupu. Begitu juga ibuku dan bapa saudaraku dan sepupu-sepupuku yang lain. Kebanyakan perkahwinan ini adalah diatur oleh orang tua. Begitu juga dengan diriku ini. Bila aku dipinang aku tidak membantah walau pon aku sebenarnya telah ada pilihan sendiri secara diam-diam. Aku bersetuju dengan pilihan ibu, kerana percaya pilihan ibu adalah yang terbaik dan akan membawa berkat. Kebanyakkan keluarga ku berkahwin dengan keluarga Nik dari Kubang Pasu dan Merbau. Aku pula berkahwin dengan jiran dan sepupu sebelah bapa. Bapa mertuaku juga adalah bapa saudaraku. Aku terima jodohku seadanya.
Sewaktu aku kecil, tidak ada keluarga atau saudara mara yang berkahwin dengan orang luar. Mungkin juga pilihan terbaik untuk mencari jodoh. Orang dekat, duduk sekampung, tak payah cari orang jauh yang mungkin terpaksa berpisah apabila telah berkahwin. Ini semua menjadi penentu bagi mencari jodoh.
No comments:
Post a Comment