Ibuku bijak menjana pendapatan.
Ibuku Hajjah Nik Som telah 2 kali menunaikan haji. Sekali dengan kapal laut dan yang kedua dengan kapal terbang. Dia merupakan seorang wanita Melayu yang bijak. Dia menggunakan kepandaian yang ada padanya untuk menambah pendapatan kami sekeluarga. Dia membuat gula-gula kelapa (coconut candy) yang sangat disukai oleh kawan-kawan Sekolah Melayu Langgar. Kawan-kawan selalu datang kerumah membelinya.
Aku suka melihat cara ibu membuat gula-gula yang dipanggil “gula menisan”. Aku sering duduk disebelahnya ketika dia sedang memproses gula-gula tersebut sehingga selesai. Sayangnya aku tidak pernah berminat mempelajarinya. Aku sangat tertarik dengan kebolehan ibu menarik gula merah yang masih panas, dari dalam kuali tembaga yang digunakannya beberapakali , sehingga ia menjadi seutas tali panjang berwarna cokelat, bulat dan berkilat berukuran sebesar jari kelingkingnya.
Tangannya sangat kuat dan stabil semasa memegang 2 batang sodek kayu leper , berukuran lebih kurang 2' x 4" yang digunakannya.
Ia kemudian disejukkan , sebelum digunting kecil-kecil dan pendik-pendik, mengikut saiz yang telah ditetapkan. Apabila semua telah selasai , barulah dibalut dengan kertas nipis berwarna warni. Gula-gula ini boleh disimpan berbulan-bulan lamanya, jika disimpan dalam botol kedap udara.
Selain berkebolehan membuat gula-gula, ibu juga pandai menjahit pakaian. Hasil kerja-tangannya sangat halus dan cantik. Dia juga pandai mengait, tekat dan menekat dengan benang emas dan perak. Antara hasil kerja tangan ibu yang aku paling ingat , adalah sepasang kipas baldu hitam bertekat benang emas, berhias kain ropol-ropol halus berwarna kuning, sepasang sarung bantal berenda benang berwarna putih dan sepasang pengikat kelambu dengan kerawang-kerawang yang diperbuat dari benang putih yang amat halus buatannya.
Setiap pagi ibu akan buka kelambu dan menyangkut kerawang tersebut pada kiri dan kanan tiang kati kayu, tempat aku dan ibu tidur.
Semua hiasan rumah kami adalah hasil kerja tangan ibu sendiri. Semuanya cantik dan menarik.Aku membesar dengan berbagai kemudahan dan kemewahan. Ini adalah kerana ibu bijak mencari wang.
Sebelum berpindah ke Kuala Lumpur, banyak barang-barang hasil kerja tangan ibu yang aku simpan dengan baik, dalam sebuah peti besi. Namun innya hilang dari simpanan, apabila kami berpindah rumah beberapa kali.
Begitu juga dengan barang-barang pusaka peninggalan keluarga yang dibuat dari tembaga yang kami simpan di dalam stor di bawah rumah diKota Bharu juga dicuri orang. Selepas ibu meninggal semua barang-barang berharga, iaitu sebatang lembing panjang dan keris bersarung perak, juga hilang dari simpanan kami. Kami mengesyaki budak-budak pengutip besi buruk yang mencurinya. Mungkin itu bukan rezeki kami, hanya dipinjamkan sahaja.
No comments:
Post a Comment