Thursday, July 02, 2020

Kampungku

Kampung ku


Apabila disebut kampung, mungkin ramai yang terbayang suatu tempat yang terpencil, jauh di kawasan pendalaman. Dipenuhi dengan rumah-rumah beratap nipah atau rambia, berdinding buluh yang usang dan pokok kelapa melambai-lambai di tepi sawah padi yang terbentang luas, sayup-sayup mata memandang. Disitu juga terdapat semak samun di kebun getah yang menghijau. 


Tidak ada lampu jalan. Jauh sekali ada tempat hiburan. Kampungku terletak hanya lebih kurang 2 batu dari pusat bandar Kota Bharu. Walau pon dipanggil kampung ia mempunyai ciri-ciri sebuah pekan kecil. Kampung  ini telah wujud beratus-ratus yang lalu. Mungkin semenjak tahun 1411 atau sebelumnya. 


Suasana kampung


Ciri-ciri suasana kampung saperti sawah padi, kebun getah, pokok kelapa, kebun buah-buahan memang terdapat disini tetapi dari segi  kemudahan-kemudahan yang terdapat disini  saperti  Sekolah, Masjid, kedai kopi,  kedai runcit, kedai jual basikal, kedai menjual motorsikal, kedai rambut, kedai perabut kayu dan berbagai lagi ada disini. Malah berhampiran dengan sekolah juga terdapat sebuah kilang Wong Vote sawmill yang agak besar.


Yang paling istimewa ialah terdapat sebuah Wakaf dihujung kampung kami, yang menjual makanan sarapan pagi saperti nasi dagang, nasi kerabu, nasi berlauk dll. Disitulah tempat aku beratur untuk membeli nasi kerabu kegemaranku. 


Harga sebungkus nasi hanya 10 sen


Dengan hanya 10 sen aku dapat sebungkus nasi kerabu yang sangat sedap dan mengenyangkan. Aku selalu beritahu mak mah, penjual nasi kerabu itu, bahawa nasi kerabunya sangat  sedap, terutama tumisnya yang pekat dan pedas. Aku minta dia bubuh kuah tumis lebih-lebih sedikit. Kadang-kadang aku berkongsi dengan ibu. Kalau tak cukup, kami tambah sedikit nasi ‘dingin’ kedalamnya. Nasi dingin adalah nasi yang lebih semalam atau “left over rice”.  Oooh! sedap nya! menjilat jari.




Makam diraja


Dikampungku juga terletak sebuah kawasan tanah perkuburan keluarga diraja yang dikenali sebagai Makam diraja Langgar. Makan ini dibina sekitar tahun 1870an. Mengikut sejarah Sultan yang pertama disemadikan disitu ialah Long Senik yang bergelar Sultan Muhamad II, mangkat pada  tahun 1886. 


Kawasan yang berbumbung, khas untuk keluarga diraja sahaja. Kawasan kelilingnya yang tidak berbumbung , dikhaskan  kepada keluarga atau kerabat-kerabat diraja sahaja. Orang ramai yang berminat dikuburkan disitu,  harus meminta kebenaran dari pihak Istana. Tokwan ku juga disemadikan disitu. 


Baginda Sultan atau kerabat-kerabat diraja berangkat menziarah Makam ini setiap pagi Jumaat. Baginda akan memberi sedekah kepada orang ramai, terutama kanak-kanak disitu. 


Perarakan semasa kemangkatan sultan


Kalau ada kemangkatan raja-raja, orang kampung akan keluar beramai-ramai untuk melihat perarakan yang berwarna warni dan penuh adat istiadat itu. Semasa kemangkatan Sultan Ibrahim dalam bulan Julai 1960 aku dan ibuku pon ikut serta berhimpun ditepi kiri kanan jalan, untuk menyaksikan perarakan Jenazah Almarhum yang penuh istiadat permakaman diraja .



Jenazahnya dibawa dengan kenderaan bermotor. Kenderaan berjalan perlahan-lahan bagi membolehkan rakyat jelata memberi penghormatan terakhir kepada baginda. Kenderaan itu diiringi oleh pasukan beruniform puteh, bersongkok dan bersamping hitam. Pentas pengusung bertingkat-tingkat itu ditutup dengan kain satin berwarna kuning berlapis-lapis serta bunga-bungaan yang beranika jenis bertaburan ditengah-tangah dan bergantung dan terurai ditepinya.  Payung-payung berwarna kuning besar dan lebar juga dikembangkan. Mereka berjalan tertib penuh adat istiadat keluarga diraja. Kami berdiri ramai-ramai dibawah pokok atau dikiri kanan jalan, menyaksikan perarakan sehingga  selesai.


Kubur-kubur lain


Selain dari kubur diraja, dihadapan kubur diraja, terdapat juga tanah perkuburan orang ramai yang disemadikan disitu. Aku masih ingat, pada suatu hari seorang Perajurit tanah air yang mati terkorban semasa berjuang, juga dikuburkan disitu. Tanah perkuburan itu terletak tidak jauh dari rumahku. Mengikut cerita ibuku, oleh kerana mayatnya terlalu uzur untuk dibawa balik kekampungnya. Jenazahnya terpaksa dikebumikan, disitu dengan penuh adat istiadat tentera. 

Selepas itu aku sangat takut lalu disitu. Aku tidak akan melintas tanah perkuburan itu bersendirian, kecuali bertemankan  ibu atau kawan-kawan.


Dimasa-masa tertentu, ramai kanak-kanak kampung berkumpul dikawasan tanah perkuburan tersebut. Lazimnya sewaktu pagi Jumaat apabila keluarga diraja akan ‘naik’  ke makam tersebut untuk berziarah kubur kaum keluarga masing-masing. Kanak-kanak akan diminta beratur sebelum wang dibahagi-bahagikan. 


Disebelah kanannya kubur ini , terdapat sebuah lagi kubur yang agak baru, dikenali sebagai Kubur Tengku Maharani.

 

Masjid Langgar. 


Masjid ini telah melalui banyak pengubahsuaian. Di masjid inilah tempat aku dan kawan-kawan mengaji Quran dulu.


Masa dulu ia hanya sebuah surau. Disinilah banyak memori tersimpan dikotak mindaku. Kami selalu datang awal, tapi bukan untuk mula mengaji tetapi hanya untuk ‘mengechok’ tempat duduk. Siapa yang meletakkan rehalnya ditempat duduk paling depan akan dipanggil dulu. Kami selalu berebut tempat itu. 


Didinding rendah setinggi kira-kira sekaki setengah dari lantai masjid sangat selesa untuk bersandar sambil menunggu giliran.  Tok Guru kami bernama Nik Abu Bakar yang kami panggil, Pak Cik Kar, tinggal dibelakang surau sahaja. Dia juga keluarga nenekku. 


Kalau Pakcikkar datang lambat, kami akan bermain dikawasan berdekatan dulu. Kami mengutip buah geduk-gedek (mata kucing), yang ditanam ditepi jalan berhampiran tanah perkuburan. Kadang-kadang kami pergi lebih jauh kedalam kampung untuk mengutip buah keranji.


Kadang-kadang kami terleka bermain, sehingga Pak Cik Kar naik marah.Di hemtam rotan penunjuknya, diatas lantai kuat-kuat. Kecut perut kami dibuatnya.


Penduduk asal kampung Langgar


Boleh dikatakan 99% dari penduduk kampung langgar ini adalah terdiri dari keluarga yang bernama Nik. Bermula dari kawasan dibelakang surau Langgar itu hingga ke jalan Pasir puteh itu semuanya terdiri dari keluarga yang sama. Mereka ini merupakan tuan tanah asal kampung ini. 


Boleh dikatakan keseluruhan kampung ini dikiri dan kanan jalan Pasir Puteh itu dikuasai oleh keluarga ini. Mungkin kerana mereka berkahwin dengan kaum keluarga sendiri maka mereka tetap tinggal disitu.


Masa dulu kampung Langgar ini meliputi kawasan yang agak luas. Bersempadan dengan Jalan Kubur Maras disebelah kiri, terus ke Masjid Langgar terus hingga kehujung Jalan Dusun Muda. Masa dulu dihujun jalan ini, terletak sebuah wakaf, atau tempat orang ramai tumpang berteduh sementara menunggu hujan teduh atau dari panas matahari. Ia juga merupakan tempat orang ramai, terutamanya penduduk kampung membeli sarapan pagi.


Manakala disebelah kanan, bermula dari kampung kesinar dua (sekarang Telipot) membawa kejalan Pasir Puteh, semuanya dikuasai oleh keluarga Nik juga. Hanya sebahagian kecil sahaja dikuasai oleh keluarga Tengku. Antaranya ialah keluarga Tengku Ahmad Panglima dan Tengku Pekerma. Aku pernah satu sekolah dengan salah seorang cucu Tengku Ahmad Panglima semasa bersekolah disekolah Melayu Langgar yang bernama Tengku Christina atau Kutas dan adiknya Tengku Mat. Bondanya bernama Tengku Kamariah, (kalau tak salah ingatan ku). 


Selain dari itu terdapat 2 buah rumah besar kepunyaan keluarga Merican,yang lainya adalah dikuasai oleh keluarga Nik. 


Dari jalan Telipot berhadapan Sekolah Sultan Ismail college (SIC) hingga kejalan Pasir Puteh semua nya anak beranak dan kaum keluarga ku. Setahu ku, tak sampai 10 buah rumah kepunyaan orang lain.  


Aku selalu menggunakan jalan itu, untuk kerumah saudara maraku disitu. Rumah emak sepupuku tinggal dengan kedua ibu bapanya, disebuah rumah besar dijalan Teliput. Ada banyak pokok rambutan, jambu dan limau. Disitulah tempat aku bergayut petang-petang,kerana aku gemar memakan buah-buahan yang lebat dan enak rasanya disitu. Rambutan Jenis Che Embung, kulitnya berwarna merah,isinya tebal dan sangat sedap,Rambutan gula batu pula berkulit warna kuning,  isinya tersangat manis. Buah-buah limau pon besar-besar bergayut-gayut didahan dan manis rasanya. Setiap ulas ku cicah dengan kicap dan gula. Kadang-kadang dah maghrib pon ku aku masih bergayut diatas pokok-pokok disitu.


Aku sangat rapat dengan emak sepupuku kerana kami pergi satu sekolah,iaitu Zainab English school.  Namanya Nik Azizah binti Nik Salleh.


Dihadapan rumah ku ialah rumah kawan baikku. Cik Yah (Noriah namanya). Di tinggal bersama neneknya Moknab. Disebelah rumah Noriah adalah adik neneknya yang kami panggil  Mak Yam. Dia berniaga sirih diatas pasar besar Kota Bharu. Manakala disebelah rumah itu adalah sederet rumah gudang kayu dua tingkat kepunyaan bapa saudaraku, NikAbdul Majid bin Wan Mohd.Tahir. Dia kemudian menjadi bapa mertuaku.


Dia dan keluarganya tinggal  di salah sebuah rumah kedai  tersebut. Dia sendiri berniaga secara kecil-kecilan juga. Sementara 7 pintu lagi disewakan. Aku masih ingat 2 darinya disewa kepada orang Melayu, iaitu kedai runcit Che Zaharah dan Kedai perabut Pak Lah. Aku juga suka kekedai rambut Mek Wee. Selain dari itu ada juga kedai besi, kedai dobi dan lain-lain. Sewa pada ketika itu bukannya mahal.Hanya rm30 sebulan sahaja.


Selain dari itu terdapat juga satu deret rumah kedai lagi. Ini kepunyaan keluarga terdekat ku juga. Dibelakang kedai-kedai ini pula tempat kediaman ibu-ibu dan bapa-bapa saudaraku. 

Dibelakang rumah mereka juga terdapat tanah-tanah getah, tanah padi dan kebun buah-buahan kepunyaan mereka juga. Aku sering menggunakan kawasan ini sebagai laluan biasa apabila hendak pergi ketanah kebun getah nenek. Aku diburu ketakutan yang amat sangat kerana di salak oleh 2 ekor anjing  peliharaan Seorang keluarga Cina, Chai Hing namanya.   Aku juga takut kepada bunyi daun getah itu sendiri yang mengeluarkan bunyi ‘debab debub’ bila aku berjalan atau memijaknya. Bulu roma aku naik dan aku akan berjalan lebih cepat.Tetapi lagi cepat aku berjalan lagi kuat pula bunyinya.


Disebelah tanah-tanah ini pula terdapat rumah-rumah saudara mara dan adik beradik nenekku sebelah bapa dan sebelah ibu. Terdapat beberapa deretan rumah kedai dikiri kanan jalan berhampiran rumahku. Semuanya kepunyaan keluarga terdekat nenekku. Penyewa mereka kebanyakannya peniaga Cina. 


Seingatku kebanyakan rumah kedai yang ada disitu semuanya disewakan kepada peniaga Cina. Cuma ada 2 kedai sahaja yang disewa oleh orang Melayu. Malah di sebelah wakaf juga terdapat sebuah rumah kedai dua tingkat yang didiami oleh keluarga terdekat nenekku, Namanya Nik Omar dan isteri Nik Esah. Kami semua memanggil Paksu Mar. Dia juga peniaga barang-barang runcit. Tetapi rumah itu kepunyaan sendiri.  Dia juga berniaga barang-barang runcit. Dua daripada anak mereka, Nik Rokiah dan Nik Khatimah bersekolah dengan aku.


No comments: