Saturday, September 02, 2017

Berkongsi resipi masakan tradisinal untuk anak cucu,
agar "menu  kegemaran keluarga" ini terus kekal sampai bla-bila.

Sudah tibalah masanya untuk diri ini, berehat dari membuat kerja-kerja rumah. Semenjak 2 tahun yang lalu,kedua belah lutut ku lemah dan sering sakit-sakit. Solat pon terpaksa duduk atas kerusi. Kalau sudah duduk, tidak dapat lagi hendak bangun. Terpaksa berpaut disana sini. Hendak ambil barang yang terjatuh pon payah. Apalagi untuk mengambil dan mengangkat barang yang lebih berat.

Semenjak tergelincir dan terjatuh pada 19 June 2017 yang baru lalu, pergelangan tangan kananku pula telah retak dan terpaksa dibalut dari tapak tangan sampai kesiku. Pergerakan ku makin terbatas. Tangan kananku adalah tangan dominan ku.

Sebagai menghargai kasih sayang arwah bondaku Hjh.NikSom, diperturunkan resipi berikut:-

Resipi nasi kerabu hitam.

bahan-bahan untuk nasi

5 cawan beras Siam
6 cawan air
40 helai daun lamuni
6 helai daun mengkudu
3 helai daun pandan
3 helai daun kunyit
2 helai daun cekur
2 batang daun halia merah
3 helai daun limau purut
15 kuntum bunga telang

cara membuatnya

Bersihkan beras dan masukkan didalam periuk nasi
bersihkan semua daun dan di potong kecil-kecil.
masukka kedalam chopper
Mesin sehingga hancur / hampir lumat
masukkan 6 cawan air  kemudian tapis untuk
mengambil airnya sahaja
Masukkan air yang telah ditapis kedalam periuk bersama beras dan masak.


cara membuat tumis 

bahan-bahan

1 kg santan segar
20 biji cili kering yang sederhana besarnya (digunting dan rendam dalam air panas)
apabila telah lambut di bersih dan blend sampai halus
10 ulas bawang merah ( diblend sampai halus)
1 1/2 keping menisan kampong bersaiz sederhana
3 keping asam gelugur
2 batang serai (diketuk)
2 sudu besar garam

cara membuatnya

masukkan santan kedalam periuk dan letakkan diatas dapur yang paling kecil apinya
Biarkan ia masak perlahan-lahan
Jangan kacau sehingga naik minyaknya
Apabila naik minyak barulah dikacau.
kemudian masukkan cili kering yang telah diblend tadi
masak lagi sehingga naik minyak
Apabila naik minyak masukkan bawang merah
Masak sehingga naik minyak juga
masukkan asam keping, serai, garam, dan menisan.
kacau dan rasa asam garamnya. Barulah diangkat

catitan: tumis ini boleh disimpan dalam peti ice untuk 2 atau 3 hari


Sambal ikan bakar 

bahan-bahan
2 biji kelapa parut diambil putehnya sahaja.
2 ekor ikan kembung segar
3 inci halia yang sedang besarnya
2 batang serai
10 ulas bawang merah
30 biji lada hitam
2 sudu besar garam (mengikut rasa)
4 sudu besar gula.

cara membuatnya

kelapa parut di goreng kering diatas kuali yang agak tebal agar tidak cepat hangus. Api juga harus yang kecil.
kacau dan balik-balikkan sehingga kering airnya.
(lebih kurang 1 jam)
kelapa parut bukan sahaja kering, tetapi juga garing dan sedikit kekuningan.

Halia , bawang merah, serai dan lada hitam ditumbuk sampai lumat.
Ikan dibakar dan diambil isinya sahaja.
Masukkan isi ikan dan ditumbuk lagi sampai sebati.
Masukkan gula  dan garam.
tumbuk lagi sampai sebati.
Masukkan kesemuanya kedalam kelapa goreng dan gaul-gaul sehingga  ketul-ketulnya hilang. Tumbuk didalam lesung untuk memastikan semuanya bercampur.
 Hidangkan didalam mangkuk

Cara membuat budu masak

1 botol budu cap ketereh
1 keping menisan kampong bersaiz sederhana.
1 sudu besar pes asam jawa
6 helai daun limau purut digunting kecil-kecil
2 batang serai di hiris-hiris
2 ulas bawang merah dipotong nipis

semuanya dicampur kedalam budu dan dimasak atas api sederhana
angkat apabila telah mendidih dan bahan-bahannya layu dan naik baunya

ulam nasi kerabu

2 secekak daun kesum
2 batang serai
2 kuntum bunga kantan
secekak daun salam
sedikit halia muda
bawang merah
cili merah
semuanya dihiris halus.

Cara memakannya nasi kerabu.

nasi diceduk kedalam pinggan.
masukkan 2 sudu besar ulam yang telah di gaul
masukkan 3 sudu besar sambal
curahkan 2 sudu tumis keatasnya ( tumis ini agak pedas)
siramkan diatasnya sesudu budu
kemudian gaul kesemuanya.

sesuai dimakan dengan daging ketuk, ayam percik, telor masin, bawang jeruk, keropok,ikan goreng celuk tepung dsbnya.

No comments: