Thursday, July 02, 2020

Asal usul keluarga Nik

Asal usul keluarga NIK


Kami tinggal disebuah rumah yang sederhana besarnya, di sebuah kampung bernama Kampung Langgar. Kampung ini terletak hanya kira-kira 2 km dari pusat bandar Kota Bharu. 


Kota Bharu adalah ibu negeri Kelantan, sebuah negeri di Pantai Timur, Semenanjung Malaysia yang terkenal dengan kekayaan hasil seni dan kraftangan tangan yang halus dan budaya dan adat resam yang tinggi nilainya.


Sebahagian besar penduduk di Kampung Langgar ini, terdiri dari keluarga yang namanya berpangkal  “NIK”.  Nik adalah gelaran kepada keturunan Raja atau Sultan. Mereka dikatakan berasal dari puteri-puteri raja yang berkahwin dengan orang kebanyakan yang tidak mempunyai apa-apa gelaran, saperti Tengku, Raja,Wan,Tuan atau Megat. 


Hanya nama bapa sahaja yang boleh diturunkan kepada anak-anak. Jadi jika isterinya bernama Tengku,tetapi suami orang biasa, anaknya diberi nama Nik. Tetapi jika isterinya orang biasa tetapi suaminya Nik, anaknya akan mengekalkan nama Nik itu. Perempuan dari keturunan Syed adalah Syarifah. Jika Syarifah berkahwin dengan orang biasa, anak akan diberi nama Megat. Begitu juga dengan keturunan Raja Jembal yang turut memerintah Kelantan dizaman dulu. Anak-anak perempuan mereka ini  pon akan memakai nama Nik jika berkahwin dengan orang biasa. 



Ciri-ciri budaya dan adat resam orang Kelantan


Hidup dikandung adat , mati dikandung tanah. 


Hidup bermasyarakat perlu ada penyatuan dan persamaan budaya dan nilai hidup yang disifatkan sebagai norma-norma sosial.Nilai adalah cara berfikir  atau cara kita melihat sesuatu mengikut persepsi yang telah diterapkan ke dalam diri semenjak dari kecil lagi. Ia merupakan cara hidup yang telah diterima pakai oleh semua anggota masyarakat. 


Orang Kelantan sangat terkenal dengan kekayaan seni dan budaya yang telah wujud sejak zaman berzaman. 


Keturunan Nik di negeri Kelantan.


Kalau memperkenalkan diri ‘Saya Nik Zaharah’ orang akan terus mengatakan “oh! Awak orang Kelantan”. Inilah istimewanya nama Nik di dalam masyarakat Kelantan.


Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa, tidak semua Nik itu berasal dari keturunan yang sama. Terdapat 2 susur galur yang utama iaitu yang berasal dari Raja Bugis dan Raja Jembal. 


Keturunan Nik mengikut salsilah yang ada pada saya, 

  


Menurut apa yang aku tahu, Nik Langgar, berasal dari keturunan Raja Ali,  anak raja Bugis yang telah mengembara dari negeri ke negeri Malbari kerana menuntut ilmu ugama Islam. Ia seorang yang  alim dan waraq dalam ilmu ugama digelar Fakih Ali yang telah mengembara masuk ke Johor, Kota Tinggi,Trengganu dan Pattani. 


Kelantan dulu diperintah oleh ramai Sultan. Sultan-sultan menetap dikawasan-kawasan tertentu. Tetapi tiada bukti kukuh tentang pemerintahan ini kerana tiada bukti yang nyata mengenainya. Semuanya berbentuk lisan atau cerita dari mulut kemulut. Misalnya dikatakan Cik Siti Wan Kembang pernah memerintah Kelantan, tetapi tiada bukti yang soheh mengenai kewujudannya? Kecuali gambar anak kijang yang dikatakan binatang kesayangannya. Dimana kuburnya, dimana istananya. Sedangkan masjid pon boleh kekal kehari ini, mana mungkin istana raja boleh lenyap tanpa kesan?Wallah.



Nik yang menjadi penduduk asal kampung Langgar adalah dari keturunan raja Bugis, bernama Nik Ali. Salah seorang keturunannya menjadi Raja Pattani. Dari keturunan Raja Pattani ini turun kepada Sultan Kelantan sekarang setelah Long Yunus berjaya menyatukan semua Sultan-Sultan di beberapa kawasan di negeri Kelantan. Keturunan Long Yunus yang memerintah negeri Kelantan dari tahun 1176 -1209 Hijrah yang berasal dari keturunan Raja Pattani. 


Saya ada menyimpan salsilahnya. Tetapi telah rosak dan banyak tulisan nya sudah reput dan tidak jelas lagi. Keturunan inilah juga yang memerintah Kelantan sehingga kini. 


Puak-puak Nik Langgar ini terkenal dengan kepandaian memasak lauk pauk. Kuzi kambing, kari daging, korma dan lain-lain lauk pauk semuanya merekalah juaranya. 


Pada masa dulu resipi-resipi ini hanya milik keluarga Nik tertentu sahaja dan jarang di kongsi kepada orang lain kerana menjaga mutu dan keasliannya. Sehingga hari ini pon Rempah kampung Langgar tetap menjadi pilihan ramai.


Satu lagi kampung yang terkenal dengan keluarga Nik pada ketika itu adalah Kampung Kubang Pasu dan Kampung Banggol.  


Mengikut pemerhatian saya, Nik yang tinggal di Kampung Kubang Pasu sangat istimewa. Kebanyakkan berkulit puteh melepak. Semuanya dan cantik-cantik pula, berbanding dengan Nik kampung langgar  berkulit biasa dan bercampur-campur, ada yang gelap, ada yang cerah dan yang puteh melepak juga. Terkenal dengan masakan kueh pencuci mulut,yang manis-manis. Jala emas, buah tanjung, tahi itek, akok dan sebagainya adalah kelebihan mereka yang tinggal disini.


Keturunan Nik juga berasal keturunan Raja Jembal, dari keluarga Tuan Puteri Saadong dan Cik Siti Wan Kembang,yang pernah memerintah Kelantan sekitar tahun 1411 Mereka ini biasanya tinggal dikampung-kampung yang sedikit jauh dari bandar Kota Bharu. Ramai juga saudara maraku yang berkahwin dengan Nik yang bukan dari Kampung Langgar. Ada yang kahwin dengan orang Kampung Temangan, kampung Laut, Kampung Banggol, Kampung Kubang Pasu dan Merbau, tetapi semuanya dari keturunan Nik. Aku pon kurang pasti asal susur galur mereka.


Perkahwinan sesama keluarga atau anak beranak


Orang dulu-dulu sangat praktikal dalam menentukan hala tuju kehidupan masing-masing. Apa yang ada dikeliling mereka , itulah yang mereka gunakan dengan sebaik mungkin.  


Dulu tidak ada kenderaan yang boleh membawa mereka dari satu tempat kesatu tempat yang jauh. Tidak ada kemudahan keretapi,bas, atau motor, apalagi kapal terbang. Yang ada hanyalah basikal. Itu pon bagi yang mampu, kalau tidak berjalan kaki sahaja kalau hendak kemana-mana. Mereka berjalan melalui jalan-jalan dan lorong-lorong yang berlumpur sekiranya hujan. Lagi-lagi kalau perjalanan yang jauh. Terpaksa mendaki bukit yang tinggi dan menuruni lurah yang curam. Jalan raya pon begitu terhad.


Jodoh pertemuan ditangan Tuhan.


Kata orang jodoh itu di tangan Tuhan.Jadi bila kita memerkatakan tentang jodoh, mungkinkah kita hendak mencari jodoh dengan orang yang jauh dari kampung kita?. Kenapa nak kahwin kan anak kita dengan orang lain, sedangkan yang dekat pon sudah ada. Orang Kelantan kata ‘senang nak berkira-satu loghat dan satu bahasa’.



Selain dari mengekalkan adat resam yang dipusakai dari turun temurun, keluarga Nik ini juga mengamalkan institusi kekeluargaan yang agak tertutup. Mereka tidak membenarkan perkahwinan dengan orang ‘luar’. Orang luar bererti orang yang bukan dari keturunan Nik. Mereka akan hanya berkahwin dengan saudara mara sendiri, saperti dengan sepupu, dua pupu atau tiga pupu atau dengan saudara mara yang dari keturunan yang sama. 


Aku sendiri telah berkahwin dengan sepupu. Begitu juga ibuku dan bapa saudaraku dan sepupu-sepupuku yang lain. Kebanyakan perkahwinan ini adalah diatur oleh orang tua. Begitu juga dengan diriku ini. Bila aku dipinang aku tidak membantah walau pon aku sebenarnya telah ada pilihan sendiri secara diam-diam. Aku bersetuju dengan pilihan ibu, kerana percaya pilihan ibu adalah yang terbaik dan akan membawa berkat. Kebanyakkan keluarga ku berkahwin dengan keluarga Nik dari Kubang Pasu dan Merbau. Aku pula berkahwin dengan jiran dan sepupu sebelah bapa. Bapa mertuaku juga adalah bapa saudaraku. Aku terima jodohku seadanya.


Sewaktu aku kecil, tidak ada keluarga atau saudara mara yang berkahwin dengan orang luar. Mungkin juga pilihan terbaik untuk mencari jodoh. Orang dekat, duduk sekampung, tak payah cari orang jauh yang mungkin terpaksa berpisah apabila telah berkahwin. Ini semua menjadi penentu bagi mencari jodoh.


Keluar negara

Ibuku adalah dunia dan akhiratku


Ibu ku Nik Som binti Nik Mustsapha, adalah seorang yang sangat pemurah dan penyayang. Bila aku balik dari sekolah, ibu sudah sedia menunggu di pintu pagar rumah. Pintu pagar berdaun dua yang diperbuat dari papan itu agak tebal dan berat itu telah dibuka untuk menyambut kepulanganku.


Aku pon tidak sabar-sabar, sambil berlari memeluk dan mencium pipi ibu, sambil berlari naik keatas rumah. Beg sekolah aku tinggalkan di sudut batang pokok rambai, di hadapan tangga. Ibu tersenyum mengekori dari belakang, sambil mengambil beg sekolah yang aku tinggalkan tadi. Ibu tak pernah suruh aku membawanya naik ke rumah. 


Ibu bukan sahaja membela dan menjaga aku dengan penuh kasih sayang, malah semua anak-anak aku juga turut mendapat belaian dan sentuhan kasih sayangnya. Sungguhpun kami mempunyai  pembantu rumah-tangga, ketika anak-anak sedang membesar, ibu tidak pernah lepas anak-anak ku kepada mereka. Pada nya pembantu hanya untuk menjaga kebersihan serta mengemaskan rumah tangga agar sentiasa kelihatan cantik, kemas dan bersih. Kerja-kerja mendidik anak cucu adalah tugas ibu dan nenek.


Didapur pon pembantu hanya bertugas membantu menyedia dan menyiapkan bahan-bahan untuk masakan. Kerja-kerja yang memerlukan kepakaran seperti menumis dan memasak, akan dilakukan sendiri. Ibu amat cermat dan sentiasa menjaga  kebersihan dan mutu makanan yang dihidangkan untuk kami sekeluarga. 


Begitu juga dalam menjaga cucu-cucunya, dia tidak akan serah kepada pembantu bulat-bulat. Mereka hanya melayan semasa bermain supaya tidak terjatuh atau pon terlanggar barang-barang perhiasan kesayangan ku. Cucu-cucu tidak dibenarkan tidur dengan pembantu. 


Oleh kerana aku banyak menghabiskan masa bekerja, maka anak-anak lebih banyak berada bersama ibu. Aku dapat rasa bahawa, mereka mungkin lebih sayang kepada nenek , yang mereka panggil 'Chek' daripada aku. Kemesraan antara mereka jelas terbayang apabila keluar berjalan-jalan. Semuanya berebut nak pegang tangan Chek.


Semasa ibu masih ada, aku jarang berpisah dengannya. Ibu ikut kemana sahaja kami pergi. 


Aku hanya berpisah darinya selama 2 tahun, iaitu sewaktu aku menemani suamiku, semasa beliau  melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat pada tahun 1967-1969. 


Pada mulanya aku serba salah juga, hendak berpisah darinya dan anak bungsukum, Nik Adura Zuliana, yang pada waktu itu, baru berusia sembilan bulan dan  masih menyusu. Tambahan pula aku belum pernah berenggang dengan ibu.


Tetapi setelah memikirkan tentang peluang keemasan untuk keluar negara hanya datang sekali seumur hidup, aku harus menerimanya sebagai satu dugaan yang perlu aku lalui dengan redha. 


Keluar negara


Ini merupakan pertama kali aku keluar negara dan belum tahu keadaan hidup, cuaca dan adat resam orang lain. Sebelum ini, negera luar yang paling jauh aku pergi hanyalah keSingapura dan Hadyai. Itu pon sekadar empat lima hari sahaja.


Melancong ke negara asing itu memang minat aku semenjak kecil, terutama disebabkan aku gemar menonton filem-filem Hollywood, Hindustan dan Cantonese.


Pemandangan-pemandangan cantik dan menarik melalui filem-filem ini menimbulkan minat untuk berada sendiri di tempat-tempat tersebut. 

 

Perasaan bimbang dan takut itu memang hadir dalam diriku seketika, namun  perasaan itu tidak mengganggu keinginan untuk merebut peluang melihat negara orang puteh.


Sebelum ini, aku tidak ada pengalaman menjaga anak. Masak makanan sendiri pon aku belum pernah. Nama rempah pon aku belum tahu, apa lagi untuk mengenali dan menggunakannya.


“Allah telah membuka pintu rezeki kepada kami” aku memujuk dan menenangkan hati sendiri. Demi masa depan kami sekeluarga, aku harus bersama-sama suami, agar hasrat dan cita-cita untuk melanjutkan pelajaran nya tercapai. Aku tahu kesusahan dan kepayahan akan timbul kiranya aku tidak bersama suami. Makanan dan pakaian siapa akan uruskan sedangkan dia sibuk dengan kuliah. Aku sudah kenal suamiku semenjak 7 tahun yang lalu. Dia adalah seorang yang “cincai bocai” dalam hal menguruskan dirinya sendiri. Seluar  yang dia pakai pon di tinggalkan celeput dihadapan pintu kamar mandi. Ia   akan tinggal ‘celeput’ disitu sampai esok pagi, sekiranya aku membiarkan. 


Begitu juga halnya, sewaktu kami mula-mula pindah ke Johor Bahru. Masa itu aku belum lagi dapat arahan bertukar. Jadi  dia seorang sahaja yang pergi dulu. Apabila arahan bertukar aku diluluskan, barulah kami semua menyusul ke Johor. Alangkah terkejut “selak kera” kami semua, apabila melihat kulit telur, bertimbun-timbun di kawasan dapur rumah 2 tingkat itu. 


Rupa-rupanya, semasa ketiadaan kami, dia tidak pernah buang kulit telur separuh masak yang dimakan setiap pagi, selama sebulan. 


“Nak buang sekali gus” katanya apabila kami menegur perbuatannya. 


Suami aku memang, tidak boleh di biarkan tinggal bersendirian, kerana dia tidak suka mengemas. Buku-bukunya tidak boleh diubah tempatnya. Dia lebih suka di biarkan berselerak sebab “mudah untuk dia mencarinya bila perlu” katanya. Dia akan marah, jika aku ubah tempat buku-bukunya semasa mengemas mejanya. 


Aku bertekad menyusul suamiku secepat mungkin.  Aku juga sedar bahawa tempat seorang isteri adalah disamping suaminya. Aku juga yakin bahawa. ibu dan anak-anak aku akan selamat. Aku tinggalkan mereka di rumah dan kampung halaman sendiri, dikelilingi kaum keluarga dan sahabat-sahabat terdekat. 


Aku juga tinggalkan bersamanya, dua orang anak angkat yang telah boleh diharap.  Che Mud 12 tahun dan Cik Yam memang anak yang baik. Chemud telah aku masukkan semula ke sekolah menengah tingkatan 1, setelah aku ambil dia sebagai anak angkat dari neneknya yang aku panggil Domek.


Domek adalah salah seorang keluarga tok bomoh yang selalu datang untuk merawat mata aku yang sakit semasa aku kecil. Dia menjadi kawan rapat Tokwan. Domek sangat sayang pada Chemud tetapi sanggup menyerahkan kepada ku kerana aku berjanji akan hantar dia kesekolah. Aku tahu dia tidak dapat meneruskan pelajaran kerana bapanya telah menghilangkan diri setelah bercerai dengan  ibunya.  


Bertolak ke Pittsburgh, Pennsylvania


Akhirnya pada bulan September 1967  aku dan dua orang anak perempuan yang berumur 5 dan 6 tahun, berlepas ke Pittsburgh Pennsylvania. Suami sudah dapat sewa sebuah apartment untuk kami sekeluarga. Sekitar tahun enam puluhan dulu, sangat susah untuk mencari tuan rumah yang sanggup menyewakan rumah mereka kepada orang-orang yang berkulit seperti kami. Ketika itu perasaan negatif kepada orang-orang keturunan “Coloured” masih tebal. Mereka lebih pandang kepada mulia kepada seekor anjing dari manusia yang berkulit hitam, terutamanya ‘negro’ yang menerima layanan yang amat buruk. Ada tempat-tempat dimana mereka ini tidak dibenarkan masuk sama sekali. 


Mencari tempat yang sesuai untuk disewa


Salah satu perkara yang mula-mula aku pehatikan adalah masaalah mencari rumah sewa. Oleh kerana pada ketika itu, orang disana belum kenal dan biasa dengan orang kita, maka terdapat sedikit masaalah kecil.  Masa itu orang putih sahaja yang boleh sewa rumah orang puteh. Banyak syarat yang dikenakan sebelum mereka bersetuju menerima kami. Namun kami bernasib baik dapat menyewa rumah keluarga berbangsa Yugoslavia  bernama Mrs. Zorich di 432 Atwood street tidak jauh dari University.  Ada perkhidmatan bas ke Downtown dan dekat dengan sekolah anak-anak.


Dalam usia 28 tahun, aku mula mengorak langkah belajar berdikari di negara orang yang jauh dan asing. Dengan wang biassiswa dari Ford Foundation kami mengatur semua perbelanjaan dengan penuh berhati-hati serta berjimat cermat. 


Aku belajar masak sendiri, dengan makanan yang mudah-mudah. Setiap hari aku goreng telur dan sayur.  Aku  masak nasi pon banyak kali hangus dan kena ‘warning’ oleh tuan rumah kerana bau hangit. Tetapi aku terima sahaja, kerana memang aku tak pernah masak nasi sebelum ini.


Masa tu belum ada periuk nasi automatic. Mungkin sudah ada, tapi aku yang tidak membelinya. Orang Amerika pon belum pandai makan nasi macam kita. Tambah pula orang tuan punya rumah tempat menyewa pon berasal dari Yugoslavia. Setiap hari mereka hanya makan roti, pagi, petang, siang dan malam. 


Beras pon susah nak dapat. Mujur dekat kawasan kami tinggal ada sebuah kedai “Korean Store” yang menjual berbagai makanan keperluan orang Asia. Tapi orang Asia masa itu belum ramai disitu. Jadi mereka tidak ada barang-barang yang kami perlu. Mereka hanya menjual kicap dan sos-sos korea. Harganya pula mahal. Tapi di Korean store ini aku mula kenali sedikit  sebanyak makanan yang sesuai digunakan dalam masakan kita. 


Sebelum datang kesini aku tidak pernah minat memasak, tetapi apabila sampai ke sini barulah aku terpaksa belajar kenal rempah. Aku mula belajar masakan melayu mengikut resipi ibu. Aku tahu kadang-kadang gulai aku kurang menjadi, tapi oleh kerana suami dan anak-anak makan sahaja, tidak merungut, aku jadi lebih rajin mencuba dan mencuba. Bila ada peluang, aku pergi belajar  dengan salah seorang isteri kawan suami yang memang hebat memasak.


Setelah kedua-dua anak diterima masuk ke sekolah, di Holmes Elementary school, aku mula belajar menjahit pakaian sendiri menggunakan pattern yang telah siap. Sekolah tidak ada pakaian seragam. Aku teruja bila melihat anak-anakku mengenakan pakaian yang aku jahit sendiri.


Oleh kerana anak-anak pergi selama 6 jam tanpa henti,iaitu dari 9.00 pagi hingga 3 petang, aku ada banyak peluang melakukan berbagai aktiviti kegemaranku. 


Selepas selesai menyediakan sarapan pagi, aku menghantar anak-anak ke sekolah terlebih dahulu sebelum ke Giant Eagle Supermarket,  mencari barang-barang untuk masak. Berjalan kaki kesana kemari sudah menjadi amalan biasa. Selesai kerja di rumah, aku keluar lagi. Aku suka meronda seorang diri, masuk  dari satu kedai ke satu  kedai yang lain, sehingga habis kedai yang ada aku jelajahi. Aku akan pulang apabila tiba masa suami dan anak-anak balik. Berada di negara maju memang seronok. Semuanya ada. Kalau tak ada duit pon boleh cuci mata dan pasang angan-angan.


Aku memang suka jalan apabila berada di negara sejuk. Tak  rasa penat. Bila aku mula pandai naik bas aku belajar pergi shopping dengan bas. 


Masa mula-mula berada disana, aku tak berani berbelanja kerana setiap kali hendak membeli sesuatu, aku akan buat kira-kira dulu. Tengok harga dan kali dengan 3.  Eh! Semua rasa terlalu mahal. Banyak barang-barang yang aku perlu, tak jadi beli kerana terasa mahal. Aku mengadu kepada suami aku tentang  hal ini.


“Ba, dapat elaun dalam US dollar. Tak payah kali tiga, setiap kali nak beli barang” kata suami kepada aku apabila aku merungut semua barang mahal. “Kalau benda itu perlu, kenapa nak berkira sangat, belilah!” tambah suami, menyedapkan hati ku. Semenjak itu  barulah aku berani membeli barang-barang yang kami perlu. 


(Suamiku membahasakan dirinya ‘Ba’)


Semenjak anak-anak kecil lagi kerana semasa dia berada di Universiti Singapura, anak-anak masih kecil dan belum pandai menyebut bapa, papa atau daddy. Mereka hanya boleh menyebut ‘Ba’ dan ‘Ti’ sahaja. Bila kawan-kawan atau kaum keluarga bertanya dimana bapa pergi, Mereka akan menjawab “Ba gi Ti” yang bermaksud bapa pergi universiti).

. 



Barang-barang disini betul-betul turun harga apabila ada ‘Sale’


Disebabkan disini ada 4 musim setiap tahun, banyak jualan murah dibuat setiap kali musim berubah. Barang-barang pakaian seperti kasut dan baju diberi diskaun habis-habisan, sebelum masuk musim baru.  


Kasut dan baju bertukar setiap musim, secara drastik setiap kali musim bertukar.  Baju musim sejuk dijual dengan potongan harga hingga 70 % bila hampir musim panas. Baju musim panas  rekaan terkini, mula dipamerkan di gedung-gedung perniagaan, untuk menarik pembeli yang berpusu-pusu memenuhi ruang niaga yang besar-besar seperti Gambles, Kaufman, dan berbagai lagi.


Disini juga mudah dapat pattern untuk membuat berbagai baju. Aku beli pattern baju yang sudah siap dan belajar menggunting dan menjahit sendiri baju anak-anakku. Amat menyeronokkan apabila melihat baju itu siap dan anak-anak memakainya. 


Hasil dari perancangan kewangan yang tersusun kami berjaya hidup sederhana dan boleh pula menghantar balik ke Malaysia, wang sebanyak U$300.00 setiap bulan untuk keperluan ibu dan anak-anak. Masa itu pertukaran mata wang asing tinggi. Bagi setiap dollar Amerika ibu dapat rm3.00. Ibu boleh dapat kira-kira rm 900.00 sebulan.


Aku rasa ibu telah berjaya menyimpan wang tersebut untuk membolehkan dia menebus kembali, semua barang-barang kemas yang telah digadai semasa aku bersekolah dulu. Aku nampak dia memakai semula barang-barang kemas yang dulu katanya disimpan, ketika  aku kembali semula ke negara ini, dua tahun kemudian. 




Jenis-jenis lauk kesukaan kami.

Jenis-jenis lauk kesukaan kami.


Ibu akan pastikan kami dapat kepala ikan dan daging Musir dalam (batang pinang), sekurang-kurangnya sekali seminggu. Kadang-kadang ibu beli sedikit hati lembu,lidah, perut, celepung (pelampung),tulang dan berbagai lagi sebagai tambahan. Ibu beli sekadar mengalih rasa atau mengubah selera.

 

Walau pon bekalan elektrik sudah ada, rumah kami tidak ada peti sejuk ketika itu, jadi kami terpaksa membuat tempahan bahan-bahan segar untuk dimasak pada hari yang sama dan makan pada hari yang sama juga. 


Kami menempah daging dari seorang peniaga daging bernama Mak Moh, yang tinggal di kampung Kubur Maras, yang terletak tidak jauh dari rumah kami. Dia datang dari keluarga penternak lembu yang sangat berjaya di kampung tersebut. 


Keluarga ini masih kekal sebagai keluarga peniaga daging yang terkenal dan berjaya sehingga hari ini. Tetapi jenis perniagaan telah berubah dari menjual daging segar kepada pengusaha sambal daging yang terkenal di Kelantan. Jalan Kubor Maras sekarang telah dijadikan salah satu kawasan  pelancongan negeri Kelantan, di bawah projek ‘satu kampung satu produk’. Disini semua jenis sambal daging atau serunding dijual termasuk sambal serunding ikan, udang dan ayam. Sambal serunding boleh disimpan berbulan-bulan tanpa rosak atau bertukar rasanya. Ia sangat sesuai dimakan bersama nasi, roti atau pulut.


Mak Moh akan singgah di rumah kami setiap kali dia keluar berniaga. Dia akan singgah di setiap rumah pelanggan tetap nya terlebih dahulu, sebelum dia meneruskan perjalanannya ke rumah lain. Dia akan menghantar apa yang kami pesan dan mengambil tempahan yang lain pula. Dia akan  singgah dan dari rumah ke rumah sehingga habis jualannya. 


Kami sekeluarga jarang pergi membeli sendiri di pasar, kecuali jika ada urusan kenduri kendara saudara mara, dan perlu beli barang-barang dalam jumlah yang banyak. 


Ikan dan sayur-sayuran, ibu tempah dari seorang penjual yang datang dengan basikal setiap pagi. Ibu akan beli sekadar cukup untuk sekali atau dua kali makan. Esoknya akan beli lagi. Kami pon tidak membeli terlalu banyak, cukup untuk makan hari yang sama. Sarapan pagi, kami beli sahaja. Kadang-kadang kami beli nasi kerabu dari Wakaf Langgar dengan harga 10 sen sebungkus. Sedapnya menjilat jari.


Perbelanjaan harian kami tidak banyak. Ibu hanya membeli apa yang perlu sahaja. Kepala ikan Gerung (bawal cermin), Tenggiri, Kembung, Selar kuning, Tambang, Bawal hitam secara bergilir-gilir, agar tidak jemu.  


Kami tak pandai makan ikan jenis lain. Ikan sungai atau ikan darat memang tak pernah kami sentuh dan tidak kenal, sehingga aku tinggal di Johor Bahru dan kemudian di Kuala Lumpur baru lah aku mulai kenal jenis-jenis ikan yang lain. Ketika tinggal di Johor aku belajar sesuatu yang baru. Orang Johor tak makan ikan tongkol kecuali orang keturunan Boyan. Di Sebelah Pantai Timur ia dikenali sebagai  Ikan Ayo dan amat digemari sebagai lauk Nasi Dagang. Di Johor juga aku baru kenal  Tempeh, makanan orang Jawa.


Adat beradab.


Sejak kecil aku dididik supaya makan secara beradab dan tertib dan tidak digalakkan makan dan minum sambil berdiri. Minum air pon tidak boleh mengeluarkan bunyi “gok..gok.. serupa dengan syaitan” kata nenek. 


Makanan tidak boleh sekali-kali diambil dengan tangan kiri dan hanya hujung jari digunakan semasa makan. Lauk pauk juga tidak boleh  diambil terlalu banyak sekali gus, untuk letak dalam pinggan nasi, saperti yang dibuat di majlis-majlis rasmi yang di panggil “makan Buffet’ di hotel-hotel oleh orang sekarang. 


Mengambil makanan bertimbun-timbun macam bukit amat tidak sesuai dengan adat orang kita.Orang tua didahulukan sebagai tanda hormat dan semasa mengambil makanan, tidak boleh bersilang tangan dan berebut-rebut. 


Nasi juga tidak boleh diambil terlalu banyak, sekali gus “macam Tok penyadap” kata nenek menegur perbuatan kami. Aku pon tak faham apa maksud nenek, tetapi aku membayangkan “ tok penyadap” sebagai seorang lelaki yang berbadan gemok, perut gendol memakai cawat, yang kerjanya  panjat pokok kelapa.


Duduk makan  pon tidak boleh sembarangan. Cara duduk lelaki berbeza dari cara duduk perempuan. Perempuan hanya boleh duduk bersimpuh dengan tangan kanan menongkat badan yang sedikit mengiring kehadapan dan lengannya rapat ke badan, manakala lelaki duduk bersila tegap. Perempuan dilarang mendirikan lutut semasa duduk, manakala lelaki dikecualikan dari larangan tersebut.


“Tak usah minun air banyak sangat ketika makan nasi, nanti kulit cepat kendur” nenek mengingatkan aku. “Kalau mamah makanan tu,  jangan sampai berbunyi, cap, cap,cap,serupa  makan dengan Syaitan” tambahnya lagi.


Nenek juga selalu pesan “sudah makan, basuh pinggan sendiri”. “Nasi tu jangan di buang merata-rata, nanti nasi tu menangis”. Sekarang ni susah nak ikut semua pesan nenek kerana duduk di Condo tak ada burung, kucing atau ayam yang akan mengutip makanan yang terbuang macam di rumah atas tanah, seperti dulu.


Latar belakang hidupku

Latar belakang hidupku.


Aku  dilahirkan selepas waktu Asar, 10 Oktober 1939, bersamaan 26 Sya’aban 1358,  iaitu empat hari, sebelum umat Islam menyambut bulan Ramadan.  Aku lahir di rumah secara normal dan disambut sendiri oleh nenek tiri aku, yang bernama Raja Aminah, seorang Bidan terkenal ketika itu.  Raja Aminah adalah isteri muda Nik Mat Tahir, Datuk dan juga madu nenek, sebelah bapa yang aku sebut “Tokwanti”. 


Aku jarang berjumpa kaum keluarga sebelah bapa. Kali pertama aku bertemu dengannya semula adalah ketika dia datang  meraikan hari perkahwinan aku. Ketika itulah ibu memberitahu aku bahawa, inilah tok bidan yang telah menyambut kelahiran aku, 20 tahun yang lalu. Dia datang bersama anak perempuan tunggalnya  yang tinggal di Selatan Thai. 


Aku memang mempunyai ramai sepupu, sebab adik beradik ibu dan bapa mempunyai ramai anak. Kebanyakan mereka juga mempunyai ramai isteri dari jauh dan dekat. Kalau tak salah perkiraan aku, semasa aku kecil, aku ada tidak kurang dari 30 orang sepupu, yang terdiri dari lelaki dan perempuan.


Nama


Nik Zaharah adalah nama yang tertulis atas sijil beranak aku. Nama itu diberikan oleh Datuk kesayanganku, Nik Mustapha bin Nik Musa, yang akan ku panggil “Tokwan”selepas ini. Tokwan ialah datuk di sebelah ibu. 


Nenek sebelah bapa pula ialah Nik Ti binti Wan Salam. Kecil molek orangnya. Aku memanggilnya “Tokwanti”. Dia nenek yang baik dan sering datang ke rumah untuk melihat dan bertanya khabar tentang diriku. Kadang-kadang dia bawa makanan untuk makan bersama. Rumah Tokwanti dekat dengan rumah kami, cuma diseberang jalan sahaja, lebih kurang 200 meter jaraknya dari rumah kami. 


Tokwanti yang telah memberi nama Nik Saniah kepada ku. Aku tidak tahu sebab sebenar mengapa aku ada dua nama. Namun itulah nama yang telah diterima pakai semasa aku kecil. Waktu sekolah dulu, kaum keluarga, kawan-kawan dan guru-guru sekolah Melayu langgar semuanya hanya kenal aku sebagai Nik Saniah. Hingga sekarang pon, kalau aku bertemu waris-waris terdekat masih lagi memanggil aku Nik Yah (singkatan kepada Nik Saniah). 


Nama itu kekal sehingga aku masuk sekolah Inggeris, apabila  nama itu terpaksa digugurkan kerana masalah teknikal. Nama Nik Saniah itu bukan nama rasmi kerana tidak tertulis atas surat beranak. Sebaliknya nama Nik Zaharah telah tertulis, semasa Tokwan  mendaftar tarikh kelahiranku di pejabat  pendaftaran Kota Bharu. 


“Nama Mek itu berarti bunga” katanya. “Mek” itu panggilan manja oleh keluarga untuk ku. “serupa dengan nama salah seorang puteri Nabi Muhammad S.A.W, iaitu  Sitti Fatimah Az-Zaharah r.a, seorang anak yang suci dan mulia”, tambah Tokwan lagi menjelaskan, apabila aku bertanya sebab dia memilih nama itu untukku. 


Mula-mula  aku masuk sekolah Inggeris, aku rasa tersangat janggal dan tidak akan menjawab apabila orang memanggil aku ‘Zaharah’. Aku  juga kurang selesa dengan nama itu. Salah satu sebab mengapa aku kurang berkenan dengan nama itu adalah  kerana orang Kelantan lazimnya tidak menyebutnya dengan betul. Nama yang cantik pon tidak sedap didengar, kerana mereka suka memendekkan panggilan, konon untuk menyenangkan. Nama aku Nik Saniah, tapi mereka cuma panggil Nik Yah. 


Satu lagi faktor yang menyebabkan aku terlalu sensitif, apabila huruf “z” dihadapan itu ditukar menjadi “J” ‘Zaharah’ disebutnya ‘Jaroh’. 


Bagi ku, nama-nama yang baik harus disebut dengan betul kerana, apabila ibu bapa memilih dan memberi nama kepada anaknya itu, ia mengharapkan sesuatu yang baik dan menyebutnya juga harus betul dan cantik. 


Pada aku, apabila huruf “Z” ditukar jadi “J” sebutan itu cukup kasar dan huduh bunyinya, pada pendengaranku dan hilang karismanya. Kadang-kadang aku mengamuk kerana namaku tidak disebut dengan betul. Kadang-kadang aku sendiri pon tidak faham kenapa aku terlalu sensitif dengan nama aku. Aku mengambil masa yang lama untuk menerima dan menggunakannya, kecuali terpaksa. Setelah bertukar dari zaman remaja kepada alam dewasa barulah aku mula menyesuaikan diri dengan nama itu.

 

Bapaku


Bapa bernama Nik Din bin Nik Mat Tahir.  Semasa aku dilahirkan dia bertugas sebagai seorang Rubber Inspector (tertulis di surat beranak). Aku tidak mengenali bapaku semasa kecil kerana tidak pernah bertemu dengannya.


Bapaku adalah anak bungsu dari 5 orang adik beradik yang terdiri dari 4 laki-laki dan seorang perempuan seibu sebapa. Dari cerita-cerita yang aku dengar, dia anak manja dan gemar berjoli bersama-sama rakan-rakan. Perangai itu tidak berubah walau pon sudah bernikah dengan ibuku. 


Aku tidak tahu cerita yang sebenarnya, kenapa mereka bercerai. Tetapi ibu pernah cerita tentang perangai boros bapa kepada aku, sehingga terpaksa minta ibu pinjamkan barang-barang kemas kesayangan ibu, untuk digadai. Apabila permintaannya ditolak, ia menceraikan ibu. 


Namun hal itu tidak memberi apa-apa kesan keatas diriku. Apabila meningkat usia, barulah aku faham sedikit sebanyak mengenai dirinya. Dia seorang yang agak nakal dan berkahwin dengan ramai perempuan dan gadis-gadis dari beberapa tempat dan daerah. Dia kahwin sekejap-sekejap sahaja. Dari salah seorang isteri itu dia mendapat 2 orang zuriat lagi, keduanya perempuan. Isteri yang ini juga sudah dia ceraikan dan kedua orang anak itu pon turut ditinggalkan bersama isterinya di Kampung.


Tak sayang ayah


Aku memang tidak ada perasasan sayang padanya, apalagi merinduinya.Aku tahu, memang berdosa kerana tidak menyayangi ‘ayah’. Tetapi apakan daya, inilah perasaan aku. 


Pada hemat ku,  seorang bapa yang tidak bertanggungjawab keatas anak-anak nya itu, umpama seorang petani yang menanam pokok di atas tanah gersang di sudut halaman yang sepi. Dibiarkan hidup tanpa disirami air atau ditabur baja. Pokok itu dengan kuasa Allah tetap akan tumbuh dan membesar, tetapi tidak mungkin akan mengeluarkan buah yang manis dan sedap isinya untuk dimakan. 


Begitu juga halnya dengan diriku ini, ada pihak yang telah  menghukum aku sebagai berdosa kerana tidak menyayangi bapa sendiri. 


Kasih sayang itu akan hanya hadir dalam diri seseorang. Ia hanya akan terzahir apabila seseorang itu merasa dirinya dihargai dan dikasihi. Cinta dan sayang hanya boleh dirasai apabila, kehangatan tubuh badannya untuk dicium bau dan merasai kasih sayangnya. Aku tidak pernah lihat dia, apa lagi merasa sentuhan kasih sayangnya. 


Anak kucing pon akan sayang kepada manusia yang  memberinya makan dan memanjakan ia setiap hari.  Tetapi amat mustahil seandainya manusia yang tidak pernah menunjukkan kasih sayang, akan dapat merasai dan menerima kasih sayang dari orang lain. Begitu juga perasaan aku terhadap bapaku. Tidak ada langsung rasa kasih sayang ku kepadanya. Sampaikan untuk menyebut perkataan ‘ayah’ juga terbeban,berat dan keras lidah ku.


Bapaku pulang


Aku mula mengenali bapa sekitar tahun 1953 apabila dia pulang  membawa isterinya yang terbaru, seorang pekerja kilang mancis dekat Kota Bharu, Halimah namanya. Ibu tiriku membahasakan dirinya ‘Maksu’. Dia tidak mempunyai anak dan cuba rapat dengan aku. Aku tetap tidak merasa apa-apa terhadapnya.


Semenjak itu, barulah aku kenal bapa. Namun aku tetap menjauhkan diri dan jarang bercakap dengan dia. Tidak lama kemudian Maksu berhenti kerja dan basikal lamanya dihadiahkan kepada aku. 


Sebagai menghargai pemberian itu, aku  biasakan diri menjenguk mereka sekali sekala. Basikal itu pon aku gunakan untuk pergi ke sekolah, setelah memasuki Kelas Special Malay I, di Zainab English school di Merbau, lebih kurang 3 km jaraknya dari rumahku.  Namun perasaan aku masih tidak berubah. Ada tembok memisahkan kami.


Bapa membuka sebuah kedai membaiki jam, tidak jauh dari rumahku, di simpangan jalan tidak jauh dari tanah kebun getah nenekku. Kedai itu terletak atas sekeping tanah, tidak jauh dari rumah kediaman Tokwanti sendiri. Itulah satu-satunya kedai jam disitu.


Disamping mengusahakan kedai jam, dia juga mempunyai sebuah kedai kopi kecil yang disewakan kepada seorang peniaga bangsa Cina. Tidak berapa lama kemudian, Maksu berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Namun sebagai seorang yang pernah bekerja, dia tidak boleh duduk diam. Maksu mula berniaga secara kecil-kecilan menjual nasi berlauk,  di sudut kedai kopi yang disewakan kepada orang Cina, itu pada setiap pagi. 


Itu merupakan perkongsian yang menang-menang bagi kedua belah pihak. Kedai kopi bertambah maju dengan adanya sarapan pagi disitu , kerana dapat dua dalam satu. Sambil-sambil minum kopi, boleh juga makan nasi berlauk. Nasi berlauk dan nasi dagang Maksu tersangat sedap. Kadang-kadang dia mengirim kepadaku, sebungkus nasi berlauk ikan tongkol kegemaranku.


Perniagaan nasi itu semakin lama semakin terkenal dan laris. Maksu tak lepas tangan melayan pelanggan yang datang, yang semakin hari semakin bertambah. Bukan sahaja orang-orang  Langgar bahkan orang-orang yang jauh dari Kubang Kerian pon, sanggup datang. Bapa terpaksa menutup perniagaan jam yang dijalankan, untuk membantu Maksu. Setelah dia menutup kedai jam, bapaku  menjadi pembantu setia kepada Maksu. 


Setiap hari sebelum pukul 3.00 petang, dia sudah keluar  ke pasar untuk membeli barang-barang keperluan. Pukul 5.00 petang giliran Maksu pula membuat persiapan untuk memasak. Ikan dan ayam perlu disiang dan dibersihkan sebelum ia dimatikan dengan air garam dan asam. Maksu sangat mementingkan kebersihan bahan-bahan dan peralatan masakannya.  Santan segar dimasukkan setelah semua rempah asam dan garam nya telah betul-betul meresap ke dalam ayam atau ikan. “Agar gulai lambat basi”, jelasnya apabila aku bertanya kenapa dia tidak terus masukkan santan.


Maksu akan menumis ayam atau daging dengan rempah-rempah yang telah disediakan sehingga naik baunya. Kemudian barulah dimasukkan asam dan garamnya.  Jam 3.00 pagi, dia sudah bangun untuk membuat persiapan akhir perniagaannya. Pukul  6.00 pagi atau setelah selesai menunaikan solat Subuh, dia sudah mula berniaga.  Lazimnya jam 9.30 pagi semua makanan sudah habis dijual. 


Sementara Maksu berniaga, bapa minum dan makan di kedai kopi, sambil berbual bersama mereka yang datang minum kopi dan makan disitu. Setelah selesai Maksu berniaga, giliran bapa pula untuk mengemas dan membawanya pulang ke rumah. Apabila semua barang-barang jualan siap dicuci dan dibersihkan, mereka menyimpan di atas rak untuk dikeringkan. Sangat bersih dan tersusun rapi. Aku perhatikan semua periuk Aluminium cap ‘buaya’ buatan Siam  yang digunakan Maksu, digosok hingga bersinar seperti baru. Rumah mereka  terletak di belakang kedai kopi itu sahaja.


Hasil dari perniagaan nasi berlauk dan nasi dagang tersebut, mereka berdua telah berjaya menunaikan Haji ke Mekah dan  mendirikan sebuah kedai kopi yang lebih besar dan sebuah rumah kediaman yang baru.


Kedai kopi ini juga di sewa kepada peniaga Cina. Mereka berdua terus menjalankan perniagaan Nasi berlauk dan Nasi dagang, di tepi kedai kopi tersebut sehingga mereka bersara dari berniaga. Bapa meninggal dunia dalam tahun 1985 waktu berusia 75 tahun dan ibu tiriku meninggal beberapa tahun kemudian.



Ibuku


Hajjah Nik Thom binti Nik Mustapha, adalah duniaku. ‘Tiada kata secantik bahasa untuk ku sebut namamu’ kata P.Ramlee. Ibu sebagai roh dan nyawaku. Anak bungsu dari 3 beradik seibu sebapa, ibu adalah seorang yang berjiwa murni dan berhati mulia. Ibu ada lagi 5 orang adik beradik tetapi dari berlainan ibu. 


Ibu adalah seorang yang sangat sederhana, baik dalam cara berpakaian, gerak geri dan tutur katanya. Aku tidak pernah mendengar dia meninggikan suara kepada sesiapa dan cukup sopan dan tertib orangnya. 


Ibu tidak pernah bersekolah, tetapi boleh membaca Qur’an dan menulis dengan baik. Tulisan jawinya juga cantik dan jelas. Dia meninggalkan beberapa wasiat dalam tulisan jawi. Banyak nota-nota tentang Islam disalin ke dalam buku diarinya . ‘Belajar sendiri’ katanya , bila aku tanya bagaimana dia boleh menulis dan membaca.   


Ibu lah tunggak dan permata hatiku. Selain dari  pandai memasak, menjahit baju kanak-kanak, ibu juga pandai membuat berbagai jenis barang hiasan dari benang untuk perhiasan tempat tidur seperti, sarung bantal, kain cadar, penyangkut kelambu dan lain-lain. Selain dari itu ibu juga pandai membuat kipas pengantin yang dibuat dari kain baldu yang dihias dengan benang emas dan manik. Ibu juga seorang wanita yang bijak mengurus kewangannya. 


Walau pon tak pernah bersekolah, ibu tahu teknik dan cara bagaimana menambahkan pendapatan. Dia tidak pernah membazir wangnya. 


Aku masih ingat bila aku menyerahkan semua wang gaji pertamaku sebanyak rm140.00, sebagai tanda kasih sayang ku kepadanya, diawal tahun 1959. Sedikit pon tidak disentuh wang itu untuk dirinya. Dengan wang tersebut dia telah membeli seutas rantai emas, sepasang subang dan sebiji loket yang lengkap dengan jurai-jurai. Set loket bertatahkan permata delima berwarna merah darah ikan yang sangat cantik. Diserah semuanya kepada aku setelah diambilnya dari kedai.


“Ini loket Saira Banu”, katanya semasa menyerahkan loket itu kepada ku. Saira Banu adalah nama sebuah filem Hindustan yang menjadi kegilaan ramai ketika itu.


Telah menjadi kebiasaan kepada peniaga-peniaga di Kelantan, untuk memberi jenama tertentu barangan ciptaan yang terbaru, mengambil sempena  nama-nama popular sebagai tarikan dan mempromosikan kepada pembeli. 




Ibu seorang penyayang.


Walaupun tanpa belaian kasih sayang seorang bapa, aku boleh hidup seperti kanak-kanak biasa yang lain. Ibu menjaga dan memberi aku penuh perhatian dan kasih sayang. Diasuh, dibelai, dididik dan dijaga aku bagai menatang minyak yang penuh, sedikit tidak diberi tumpah. Ibu tidak pernah marah aku, malah kena jentik pon tidak pernah. Ibu seorang yang teramat baik dan suci dan  mulia hati nya. Ibu juga jarang bermasam muka dengan kaum keluarga dan kawan-kawan.  Aku tahu dia banyak berkorban untuk membesarkan aku, namun dia tidak pernah menunjukkan kesusahan atau kepayahan sepanjang masa dia membesarkan aku.


Makan minum ku tak pernah kurang, malah kadang-kadang aku rasa agak terlalu mewah. Apabila aku pulang dari sekolah, makanan telah terhidang di dalam pinggan mangkuk yang sediakan khas untuk aku. Sebuah saji mengkuang bercorak biru-putih-merah berbelang-belang, menutup makanan tersebut, yang terletak di atas tikar mengkuang, di ruang tengah rumah kami. 


Biasanya aku makan sendirian. Ibu tidak akan membenarkan orang lain menyentuh makanan itu sebelum aku. Jarang aku makan dengan orang lain kecuali dengan Tokwan. Amalan makan bersendirian ini diteruskan walau pon kaum keluarga yang datang tinggal di rumah kami bertambah. Aku tetap akan makan dulu, sebelum orang lain. 


Lauk pauk yang ibu sediakan tidak pernah kurang dari 4 jenis yang terdiri dari ikan, daging, sayur-sayuran dan sambal cili hidup. Semuanya kegemaranku. Semua ibu masak sendiri. Menu juga diubah atau ditukar mengikut selera, dan juga mengikut apa yang ibu pesan pada hari itu. 


Ikan yang paling istimewa adalah gerung atau bawal cermin, sebab rasanya manis, terutama biji matanya yang besar dan berlemak-lemak. Masakan yang paling sedap ialah gulai lemak lengkuas yang ibu masak. Kadang-kadang sayur lemak umbut kelapa juga menjadi pilihanku, tetapi oleh kerana susah nak dapat, maka jarang aku dapat sayur kegemaranku itu. Namun daging goreng batang pinang dan lemak Cenonok (bahagian ini tidak hancur bila dibakar/goreng) dan lidah bakar juga hampir setiap minggu disediakan untukku.


Yang paling aku rindu adalah lidah yang dibakar di atas dapur arang. Ibu akan menghiris nipis-nipis dan kami makan segera ketika masih panas-panas. 


Aku juga suka makan pucuk-pucuk daun yang selalu ibu kutip kalau dia pergi kekebun. Aku juga suka celur betik muda cicah budu.  


Ibu dan nenek juga pandai menyediakan berbagai dan beraneka jenis kerabu menggunakan sayur dan buah-buahan segar sebagai bahan-bahan utamanya.  Kerabu kacang botol, kerabu terung,  kerabu jantung pisang, kerabu nangka muda dan lain-lain. Tetapi yang paling istimewa, adalah kerabu buah beko yang nenek buat. Sampai sekarang pon kalau teringatkan kerabu buah beko, kecur air liur ku. Salah satu lagi lauk yang aku rindu dan terbayang-bayang adalah, masakan acar pedas pisang benggala yang ibu buat. Tetapi sekarang aku jarang jumpa buah pisang tenggala muda.


Buah Tembikai juga ulam kesukaan kami.  Biasanya selepas musim hujan, ibu akan sediakan sedikit buah ini untuk makan bersama-sama nasi.  Buah ini sangat manis dan menyelerakan, terutama di musim panas.


Mula mencari kerja

Mula kerja dan mencari duit sendiri


Ramai yang menganggur selepas tamat belajar. 

“Tidak ada kerja yang sesuai dan gaji pula tak setimpal dengan kelulusan yang ada” 

 “Tak tahan kerja tempat panas” 

“Jauh dari keluarga dan ibu bapa” dan bermacam rungutan dan alasan lagi yang sering kita dengar. 


Aku agak bertuah


Di awal tahun 1959, sebaik sahaja tamat tingkatan 5, sebuah sekolah Inggeris di Kota Bharu, Kelantan. Sementara menunggu keputusan peperiksaan, aku memohon jadi guru sementara di sekolah rendah kebangsaan Sultan Ismail, yang terletak lebih kurang setengah kilometer dari rumahku. Dengan pendapatan seratus ringgit sebulan sudah cukup bahagia. 


Setelah keputusan peperiksaan diumumkan, aku hanya lulus dengan mendapat gred 3, iaitu gred yang paling tercorot. Yang penting aku lulus. Aku bersyukur dengan keputusan tersebut dan terus mencuba nasib dengan menghantar beberapa permohonan kerja, ke beberapa jabatan kerajaan dan swasta. 


Tanpa diduga, di dalam bulan tersebut juga aku terus mendapat tawaran kerja sebagai kerani di sebuah Syarikat Kenderaan berhampiran dengan rumah aku. 


Syarikat itu adalah syarikat kenderaan di negeri Kelantan yang utama, pada ketika itu.  Aku ditempatkan di dalam sebuah pejabat kecil, di bahagian bengkel, yang terletak berhampiran kawasan pintu masuk utama syarikat kenderaan tersebut. Di syarikat ini aku mula mengenali beberapa perkara baru. Berbagai jenis kenderaan dan peralatan yang digunakan mula menjadi perhatian aku.


Aku ditempatkan di meja kecil berhampiran bilik stor yang berisi dengan berbagai tayar berbagai jenama tersusun sampai hampir ke siling. Hari pertama aku melapor diri, aku dibawa masuk ke bilik ini untuk melihat keadaan sekeliling.


Kerja aku adalah mencatat bilangan kenderaan yang keluar masuk ke bengkel dan merekodkan jadual perjalanan destinasi kenderaan tersebut. Aku  juga dikehendaki merekodkan kod   tayar yang diambil untuk kegunaan berbagai jenis kenderaan syarikat. Masuk pejabat pukul 8.00 pagi keluar pukul 4.30 petang. Aku berjalan kaki ke tempat kerja setiap hari. 


Kerjaya aku sebagai kerani di syarikat kenderaan tersebut berakhir apabila aku mendapat tawaran kerja yang lebih baik. 


Kerajaan negeri Kelantan telah menawarkan aku jawatan sebagai pegawai Kerani. Mengikut surat itu aku akan ditempatkan di Pejabat Tanah Kota Bharu. Aku amat teruja dan bersyukur dan terus melapor diri setelah menerima tawaran dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan. 


Setelah selesai urusan melapor diri, aku diberi sebuah meja besar, terletak di belakang meja Kerani Besar. Terdapat beberapa meja lain yang sederet dengan meja aku. Di tepi dinding sebelah kiri meja Ketua Kerani pula, terdapat sebuah meja khas. Di atasnya  terletak sebuah kotak, berukuran lebih kurang 15inci tinggi dan 12 inci lebar, dan kelihatan sebuah telefon tergantung ditepinya. Seorang lelaki berkulit agak gelap,tinggi dan kurus, bertugas sebagai operator.


Aku nampak semua yang berada di kiri dan kanan aku adalah  kaum lelaki. Aku seorang sahaja wanita. Aduh!  aku adalah kerani wanita yang pertama bekerja di pejabat Tanah Kota Bharu pada ketika itu.  Sebelum memulakan tugas aku dibawa oleh Ketua Kerani untuk bertemu dengan Tuan DO atau Ketua Jajahan. Dia seorang yang mudah mesra dan baik budi bahasa dan tutur katanya.

 

Aku bermula sebagai kerani bahagian surat menyurat. Tugas aku adalah membuka dan membaca surat menyurat yang masuk dan keluar. Setiap surat yang masuk aku  diarah catit tarikh surat itu diterima. Aku juga harus baca terlebih dahulu isi dan kandungan surat tersebut sebelum disusun atur atas file rak khas untuk disampaikan pula kepada pegawai yang berkaitan oleh seorang budak pembantu pejabat. Dari masa ke semasa aku mula didedahkan dengan berbagai tugas lain yang memberikan aku peluang belajar dan mengetahui semua selok belok pentadbiran dan pengurusan pejabat. Aku belajar buka dan simpan fail serta urusan mengutip hasil tanah dan menyimpan rekod kewangan. Aku juga belajar cara melayan dan bercakap dengan orang ramai di kaunter kutipan hasil dan sebagainya. Ada juga masanya  aku diberi tugas melayan Pasangan pengantin berbangsa Cina yang datang untuk mendaftar perkahwinan mereka. Pegawai jajahan juga bertugas sebagai pendaftar nikah kahwin kumpulan etnik tersebut. Semua kerja aku lakukan dengan sempurna dan baik.


Tidak lama kemudian aku mula mendapat perhatian dari pihak atasan untuk menjalankan berbagai kerja selain dari tugas kerani. Selain dari bertugas di pejabat, aku juga mula dihantar keluar pejabat untuk membantu menghantar dan memberi bantuan makanan dan pakaian kepada mereka yang terlibat dalam bencana alam seperti banjir dan sebagainya, di sekitar kawasan Kota Bharu. Selepas itu aku juga diberi peluang melawat kawasan bersama “Tok Penggawa” dan “Tok Penghulu”. 


Aku rasa amat teruja apabila berpeluang bertemu dengan orang ramai serta berpeluang pergi ke berapa tempat, yang sebelum ini, belum pernah aku tahu tentang kewujudan beberapa kampung tersebut. Berbagai nama kampung yang “pelik dan aneh” pada pendengaran telah aku temui. Ini membuat aku lebih seronok dan tertarik untuk bekerja lebih rajin. 


Dalam masa setahun menjawat jawatan tersebut, aku telah menduduki dan berjaya lulus semua peperiksaan wajib untuk jawatan pegawai kerani sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syarat dan peraturan penjawat awam mengikut “Perintah Am kerajaan” atau General Orders pada masa itu. 


Dengan kelulusan peperiksaan tersebut, aku sepatutnya telah diletakkan di bawah jawatan tetap. Namun rezeki aku belum ada, kerana sebaik sahaja aku berkahwin pada 1 September 1960, jawatan aku diputuskan selama satu hari dan diletak di bawah skim jawatan sementara.  


Namun itu tidak menghalang aku untuk meneruskan tugas di pejabat seperti biasa. Dalam pada itu aku telah dilantik sebagai Ahli Penasihat Sekolah Perempuan Zainab, iaitu sekolah lama aku, dan pada masa yang sama aku juga dilantik sebagai salah seorang Ahli Panel Penasihat Mahkamah Kanak-kanak (Juvenile Court) Kota Bharu,Kelantan. 


Sebagai ahli penasihat Sekolah Zainab aku diletakkan sebaris dengan 2 orang yang berpangkat Dato’, seorang ahli Yang Berhormat dan beberapa orang individu yang punya pengalaman luas dalam bidang mereka. 


Aku anggap kedudukan tersebut, sebagai satu penghargaan kepada diri aku yang kerdil ini. Aku mewakili kerajaan untuk mengisi semangat perjuangan sebuah negara yang baru Merdeka. Kebetulan pula aku sememangnya aktif dalam persatuan penuntut Melayu Kelantan dan pernah jadi Setiausaha persatuan tersebut. Aku juga turut menjadi ahli biasa badan induk persatuan pelajar Melayu Semenanjung yang dikenali sebagai Gabungan Pelajar melayu Semenanjung (GPMS). Aku juga rajin bergiat aktif dalam persatuan Belia dan kebudayaan negeri Kelantan dan pernah menjadi wakil persatuan itu ke Kuala lumpur dalam acara Kebudayaan sebagai Penari utama, semasa perayaan Hari Malaysia tahun l963.


Pelantikan aku sebagai ahli panel penasihat Mahkamah Juvana, Kota Bharu dibuat oleh pihak Mahkamah Majistret Kota Bahru, manakala pelantikan sebagai Penasihat Sekolah Zainab dibuat oleh kerajaan negeri. 


Sebagai ahli panel aku diberi tempat duduk istimewa, di sebelah kanan Hakim Mahkamah Kota Bharu. Aku membantu Hakim semasa menjatuhkan hukuman jenayah yang dilakukan oleh “juvana”. Lazimnya 2 orang ahli panel hadir setiap kali kes perbicaraan dijalankan. 


Sebelum keputusan menjatuhkan hukuman ke atas pesalah juvana, kami akan merujuk kepada laporan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah tempat pesalah berkenaan bermastautin. Tuan Hakim akan terlebih dahulu menerangkan kepada kami (ahli penal) jenis hukuman mengikut undang-undang yang ada, untuk kami fikirkan bersama, jenis hukuman yang patut dikenakan, kepada pesalah tersebut.


Selain dari berpeluang duduk sebelah Hakim Mahkamah Majistret, aku juga berpeluang mengenali dan berkawan dengan beberapa orang pegawai Kebajikan Masyarakat setempat.  Berpandukan latar belakang yang mereka sediakan dan keterangan Hakim, kami akan membuat keputusan atas hukuman yang sesuai untuk dijatuhkan oleh Mahkamah kepada pesalah yang sedang dibicarakan. Sebahagian besar kes Juvana, adalah mencuri motor, pecah rumah dan kes-kes salah guna dadah.  


Ada juga beberapa kes di mana ibu bapa sendiri yang menghantar anak mereka ke Mahkamah untuk dibicarakan, kerana tidak mampu mengawal anak mereka, yang liar dan sentiasa lari dari rumah (beyond control). Mereka meminta agar anak mereka dihantar ke pusat pemulihan yang disediakan oleh kerajaan.


Kanak-kanak yang didapati bersalah, akan di hantar ke pusat pemulihan akhlak. Terdapat beberapa sekolah pemulihan akhlak yang dikelolakan oleh Jabatan Kebajikan masyarakat. Sekolah Tunas Bakti,umpamanya adalah untuk menerima kes yang ringan atau ke Sekolah Henry Gurney, bagi kes yang lebih berat. Biasanya, pesalah yang telah mencapai umur 18 tahun akan dihantar ke Sekolah Henry Gurney, Kuala Lumpur, untuk menjalani pemulihan akhlak yang lebih agresif. 


Penglibatan aku dalam berbagai kerja sukarela ini telah menjadikan aku cepat dewasa dengan mempelajari dan memahami berbagai permasaalahan hidup dalam masyarakat. Dengan latar belakang ini menjadikan aku lebih peka kepada keadaan sekeliling. Apabila aku berpindah ke Kuala Lumpur pihak Kementerian Kebajikan Masyarakat telah menyambung khidmat aku sebagai Ahli lembaga Pelawat Sekolah Tunas Bakti, yang terletak di Sungai Besi. Oleh kerana minat dan komitmen aku kepada sekolah ini, aku berkhidmat hampir 30 tahun, iaitu dari Januari 1971 hingga 31 Mei 1999.  


Aku juga dilantik sebagai ahli panel Penasihat Mahkamah Juvana Kuala Lumpur dari tahun 1978 sehingga 1985. Pelantikan itu diwartakan dalam Warta kerajaan. No 62 jilid 22 bertarikh 28September 1978.


Mungkin perkara ini tidak begitu penting pada setengah orang,  tetapi bagi aku, ia merupakan satu penghargaan yang  amat tinggi dan istimewa buat aku yang baru berumur dalam lingkungan dua puluhan, ketika mula dilantik.   


Tawaran kerja yang tidak putus-putus.


Suatu hari, En.Aziz Abu Hassan datang ke pejabat tempat aku bekerja. Dia perkenalkan dirinya dan menyatakan hasratnya untuk menjemput aku datang ke tempat dia menginap iaitu “Rest- house”, Kota Bharu selepas habis kerja petang itu. 


Dia tidak memberitahu tujuannya. Aku ingat dia mahu bertanya sesuatu mengenai kerjaya aku. Setibanya aku, pada pukul 5.00petang, En.Aziz Abu Hassan, sudah sedia menunggu. Beliau memberikan aku satu skrip yang telah disediakan dan menyuruh aku membacanya sambil dia merekodkan suara aku ke dalam alat pita rakaman yang terletak atas sebuah meja, berhampiran tempat kami duduk. 


Setelah aku selesai membaca, dia kata  “ok. Esok kita buat recording”. 


Aku tak faham apa maksudnya pada saat itu, tetapi bila dia menambah “you have a good microphonic voice,”  barulah aku  mengerti bahawa, aku mendapat tawaran kerja tanpa diduga dari RTM. Bukan aku yang mencari kerja, tetapi sebenarnya, kerja yang datang mencari aku. Aku hebat!


Rakaman pertama dibuat di rumah aku sendiri. En Aziz Abu Hassan membawa sebuah mesin rakam suara ke rumah bernombor 4661, Jalan Pasir Puteh, Kota Bharu, pada 1 September 1960 lebih kurang pukul 10.00 pagi. Rakaman berjalan lancar dan Encik Aziz sangat berpuas hati dengan rakaman tersebut. Bermula dari hari itu, aku mula memegang dua jawatan dalam satu masa. 


Apabila studio RTM di Wakaf Che Yeh siap aku diberi tugas di studio dan juga untuk menjadi Pengacara rancangan “Dupa Irama” sebuah rancangan hiburan yang menampilkan kumpulan ahli muzik dan beberapa orang penyanyi tempatan. Rakaman rancangan itu ada yang dibuat di luar Studio, untuk merapatkan hubungan antara RTM dengan penduduk tempatan. Salah satu rakaman yang aku masih ingat adalah rakaman yang dibuat di Dewan Kolej Sultan Ismail, Kota Bharu. Itulah pertama kali aku terlibat dengan rakaman luar.  Aku berdepan dengan jumlah penonton yang ramai memenuhi Dewan Sultan Ismail College (SIC). Aku berdebar juga, namun dapat mengawal perasaan takut dengan tunjuk ajar dan bantuan dari penerbit rancangan hiburan tersebut iaitu sdr. Hamidon Zain yang memberi aku keyakinan dan dapat menjalankan tugas dengan sempurna. 


Melalui rancangan hiburan ini dapat pula aku bertemu dan berkenalan dengan ramai penyanyi.  Antaranya adalah, Wan Salman Ahmad, yang bersuara lunak. Yang bersuara garau Ismail Ali Muda, yang bersuara merdu dan cantik molek, Nik Hasni serta beberapa ahli  muzik yang terkenal  seperti Johari Salleh, Ahmad Salihin dan lain-lain.  


Aku juga terlibat dengan drama yang berlatar belakang suasana kehidupan sebuah keluarga orang tempatan bernama “Kampung Senang”. Aku diberi peranan  sebagai Mek Yah. Siri ini amat digemari oleh pendengar tempatan kerana menggunakan loghat Kelantan yang pekat. Aku menjadi seorang “selebriti kecil”secara tak sengaja juga. 


Kami membuat rakaman setiap minggu dan melibatkan ramai juruhebah tempatan seperti Mohamed Latiff dan Mohamed Hassan. 


Setelah studio Wakaf Chek Yeh siap sepenuhnya ramai kakitangan dari Kuala Lumpur telah didatangkan dan khidmat kami makin tidak diperlukan. Namun aku sempat berkenalan dengan Tahir Ramli, Dom Madzi, Daud Hamzah dan Wan Chik Daud. Mereka ini merupakan “nama-nama” besar di RTM ketika itu.


Apabila aku berhijrah ke Kuala Lumpur, akhir tahun 1969, sekali lagi aku memasuki bidang penyiaran. Kali ini aku jadi “guru TV pendidikan” dan merakamkan beberapa program “Sain untuk tingkatan I dan II” untuk siaran ke sekolah-sekolah. Rakaman TV pendidikan dibuat di Angkasapuri Kuala Lumpur dalam tahun 1972. Pengalaman membuat rakaman tersebut juga memberi aku peluang beraksi di depan kamera TV dan dapat berkenalan dengan beberapa orang guru TV pendidikan yang lain termasuk salah seorang daripada mereka ialah Datin Masnah Rais.


Salah satu rakaman radio yang  masih segar dalam ingatan adalah rakaman untuk  program “Ole Ole Pantai Timur “ yang pertama dibuat bersama En.Aziz Abu Hassan dirumahku. Ia dibuat pada hari aku di ijab Qabul dengan suamiku Nik Abdul Rashid bin Nik Abdul Majid, seorang Juruteknik dari Jabatan Ukur, Kota Bharu. Rakaman dibuat pada waktu pagi dan majlis perkahwinan pula pada sebelah malam itu juga. Majlis pernikahan kami sangat meriah dan dihadiri oleh ramai kaum kerabat terdekat dan rakan sepejabat kami berdua. 


Perkahwinan kami merupakan satu majlis yang paling “gempak” pada ketika itu. Kami mendapat hadiah perkahwinan begitu banyak dan kotak-kotak hadiah kami bertimbun-timbun dan mengambil masa beberapa hari untuk diangkut oleh lori Pejabat Perbandaran Kota Bharu. Kami menerima begitu banyak hadiah air wangi, barangan elektrik, alat kelengkapan dapur, pinggan, gelas dan cawan dan berbagai lagi. Setengah daripada hadiah tersebut masih lagi tersimpan dengan baik sampai kini.


Peristiwa rakaman dan majlis perkahwinan itu berjalan dengan  tersusun dan teratur tanpa sebarang gangguan atau masalah.


Setelah semuanya selesai, kami suami isteri mengambil cuti seminggu untuk berbulan madu di Pulau Pinang dan Haadyai. Sembilan bulan kemudian aku melahirkan seorang puteri dan pada tahun berikutnya aku melahirkan seorang lagi puteri. 


Aku selalu di usik oleh kawan, kerana terlalu awal berkahwin dan terlalu awal mendapat anak. Ketua Jajahan Kota Bharu, Dato’ Ismail  pada waktu itu juga, sering bergurau dengan aku. Antara “kata-katanya yang aku masih ingat ke hari ini adalah,  “Kenapa kahwin cepat sangat, orang nak bagi dia jadi ADO”. Kembang juga hidung aku dibuatnya. Dalam “diam-diam” rupanya sudah ada tanda-tanda  aku akan dinaikkan pangkat.


Berkat usaha, rajin, cekal dan kesungguhan, aku berjaya membeli sebuah kereta Ford Prefect bernombor pendaftaran 

T 6927, setahun kemudian. Masa itu aku baru berusia 22 tahun. Kereta itu masih baru, tetapi oleh kerana suami sepupu ibu, ingin tukar kereta, dia setuju menjual kereta lama itu kepada aku. Aku membayar secara ansuran. Dengan kereta itu, kerja aku menjadi lebih mudah dan rezeki aku mula melimpah ruah.


Kerja sebagai kerani di pejabat tanah, bermula pada pukul 8.00 pagi hingga 4.30 petang. Selepas selesai kerja di pejabat tanah, terus  memandu ke Radio Wakaf Chek Yeh, untuk bertugas selama satu jam. 


Selain dari bekerja di RTM sebagai Juruhebah sambilan, aku juga jadi guru kelas dewasa di Kedai Mulong, yang letaknya lebih kurang 14km dari bandar Kota Bharu. Aku mengajar  3 kali seminggu dari jam 8.30 hingga 10.30 malam. 


Tiga kali seminggu, aku paling sibuk kerana terpaksa berkejaran dari satu tempat kerja ke tempat kerja yang lain. Aku hanya sempat balik mandi dan bertukar pakaian.  


Tawaran jadi guru kelas Dewasa juga, datang secara tak sengaja apabila aku terserempak dengan bekas guru yang pernah mengajar aku di Sekolah Melayu Langgar dulu. Dia juga adalah bekas bekas biras ibuku. Ibu aku berkahwin buat kali kedua semasa aku berumur 15 tahun. Tapi suaminya meninggal dunia 3 tahun kemudian. 


Kami bertemu di jabatan Pelajaran Kota Bharu ketika aku sedang mengambil borang kemasukan semula untuk salah seorang anak-angkat aku Chek Mud (Mahmud bin Awaang Ngah). Tawaran kerja itu dibuat kepada aku, sebab secara kebetulan dia sedang mencari guru untuk “mengajar kelas dewasa yang baru di mulakan di negeri Kelantan” katanya. Dia bertanya,  samada aku berminat menjadi guru sambilan. Bila aku angguk tanda setuju, dia terus memberikan borang untuk diisi. Maka bermulalah satu lagi kerja aku sebagai guru sambilan. 


Aku beruntung kerana ada seorang anak sepupu yang sayang dan hormat aku. Ibu bapanya tinggal di Selatan Thai. Kalau mengikut umur, aku lebih tua sedikit dari usia dia, tapi dia selalu mengusik aku kerana dia suka tengok aku menangis. Aku anak tunggal ibu dan terlalu dimanjakan. Bila diusik sedikit, aku terus menangis. Dia seronok tengok aku menangis.


Walau apa  yang terjadi, antara kami berdua tidak pernah berselisih faham atau bertengkar lama. Sekejap sahaja berkecil hati, selepas itu  kami akan berbaik semula. Nama sebenar nya Nik Ahmad, tetapi aku suka panggil dia ‘Mat Gebeng’ kerana telinganya yang agak menonjol. Dia tidak pernah marah pada aku. Walaupun dia nakal, hatinya baik dan tidak pernah menolak permintaan aku dan sentiasa bersedia untuk teman aku ke mana sahaja aku pergi. Dia yang menjadi pembantu setia kepada aku. Dia bukan sahaja menjadi pemandu bahkan setia menunggu dalam kereta sehingga aku selesai dengan tugas aku. Ada kalanya jam telah menunjukkan  11.00 malam baru kami sampai di rumah.